Ira Kazar diarah masuk pembelaan, tidak ganggu Puteri Sarah

Puteri Sarah dan Ira Kazar. - Foto IG Puteri Sarah dan Ira Kazar
Puteri Sarah dan Ira Kazar. - Foto IG Puteri Sarah dan Ira Kazar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Anak pelakon veteran, Ira Kazar diberi masa sebulan untuk memasukkan pembelaannya di Mahkamah Sesyen di sini, berhubung saman yang dikemukakan oleh isteri pengarah filem Mat Kilau, Syamsul Yusof, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin.

Memaklumkan perkara berkenaan, peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili pelakon yang lebih dikenali sebagai Puteri Sarah selaku plaintif berkata, mahkamah memberikan ruang waktu itu kepada Ira Kazar atau nama sebenarnya, Faghirah Fatini Kazaruddin selaku defendan.

"Jika perlu jawab, kita akan jawab, jika tidak mahkamah akan tetapkan tarikh bicara.

"Mahkamah kemudian menetapkan 23 Ogos depan untuk pengurusan kes selanjutnya," katanya ketika ditemui selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Rofiah Mohamad.

Menyentuh perintah interim injunksi ex-parte (sebelah pihak), Akberdin berkata, mahkamah turut mengekalkan perkara itu iaitu defendan diperintah berhenti daripada mengeluarkan, menyebarkan dan menghantar sebarang kenyataan atau apa sahaja bentuk gangguan terhadap Puteri Sarah di media sosial.

Selain Akberdin, pelakon filem 'Lu Fikirlah Sendiri De Movie' dan drama 'Sabarlah Duhai Hati' itu turut diwakili peguam Siti Natasha Basheer Hassan dan Ummi Kartini Abd Latiff.

Dalam prosiding kali ini, Puteri Sarah dan Ira Kazar tidak hadir ke mahkamah dan hanya mewakilkan peguam masing-masing.

Mengesahkan perkara itu, peguam, Ammar Ghalip yang mewakili Ira Kazar ketika dihubungi berkata, pihaknya perlu memasukkan pembelaan sebelum atau pada 4 Ogos depan.

"Saya sudah memasukkan dan menyerahkan kehadiran kepada plaintif dan mahkamah mengesahkan defendan telah melantik peguam dan kehadiran dimasukkan pada Jumaat lalu," katanya.

Pada 30 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan, Puteri Sarah memfailkan saman di Mahkamah Sesyen di sini dan dua aduan di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung gangguan dan pemerasan yang diterimanya daripada seorang wanita, sejak empat tahun lalu.

Dia mendakwa, individu itu melakukan gangguan dengan bersembunyi di sebalik puluhan akaun media sosial palsu.