425 lembu diagihkan di masjid, surau di Selangor Ahad ini

Mohd Zawawi (tengah) bersama peserta Seminar Pemantapan Sembelihan Halal Qurban Negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam.
Mohd Zawawi (tengah) bersama peserta Seminar Pemantapan Sembelihan Halal Qurban Negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri itu akan mengagihkan 425 lembu korban kepada masjid dan surau terpilih bagi sambutan Aidiladha Ahad ini.

Agihan lembu korban diserahkan kepada pihak pengurusan di 332 buah masjid, 31 surau mendapat kebenaran solat fardu Jumaat dan 62 buah surau di negeri ini.

Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Negeri Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, keutamaan diberikan kepada masjid dan surau berada di kawasan luar bandar.

Menurutnya, pemilihan menerima agihan lembu korban juga dibuat berdasarkan kepada pengurusan masjid dan surau yang mempunyai pendapatan atau hasil kutipan yang rendah di negeri Selangor.

"Kita ada sebanyak 432 buah masjid di Selangor dan yang menerima atau dipilih menerima sumbangan lembu korban tahun ini adalah sebanyak 332 masjid.

"Bagi surau Jumaat, kita ada sebanyak 346 buah dan yang kita pilih adalah 31 manakala surau kariah kita ada 1765 buah dan yang terpilih adalah sebanyak 62 buah.

Sebahagian peserta hadir pada Seminar Pemantapan Sembelihan Halal Qurban Negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam.
Sebahagian peserta hadir pada Seminar Pemantapan Sembelihan Halal Qurban Negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam.

"Kita telah serahkan kepada Pejabat Agama Islam Daerah untuk membuat pilihan," katanya ditemui di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Isnin.

Beliau hadir bagi merasmikan Seminar Pemantapan Sembelihan Halal Qurban Negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam di masjid berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga tidak meletakkan sebarang tambahan terhadap prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 untuk sambutan Hari Raya Aidiladha.

"Sebenarnya SOP ini sudah kembali kepada asal seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan, namun diharapkan kepada mereka yang ada gejala janganlah datang untuk melakukan ibadah korban," katanya.