Penangan filem Mat Kilau, PSCHM buka tiga gelanggang baharu

Penangan filem Mat Kilau, PSCHM Pahang menerima penyertaan khususnya golongan remaja yang berminat mempelajari silat tersebut.
Penangan filem Mat Kilau, PSCHM Pahang menerima penyertaan khususnya golongan remaja yang berminat mempelajari silat tersebut.
A
A
A

TEMERLOH - Gara-gara penangan fenomena filem Mat Kilau, tsunami silat melanda negara antaranya Pertubuhan Silat Cekak Harimau Malaysia (PSCHM) Cawangan Pahang yang perlu membuka tiga lagi gelanggang baharu di negeri ini bagi memenuhi permintaan orang ramai terhadap seni bela diri tersebut.

Guru utama pertubuhan, Datuk Osman Nok memberitahu, tiga gelanggang baharu itu dibuka di Taman Sri Kemuning Indah di sini, Kampung Sekara di Chenor dan Balai Silat di Taman Gelora di Kuantan.

Menurutnya, seramai 130 orang berusia 11 hingga 40 tahun telah mendaftarkan diri untuk mempelajari silat tersebut.

"Gelanggang di Taman Sri Kemuning telah mula menjalani latihan mereka dan dua lagi akan mula menjalani latihan dalam pertengahan bulan ini.

"Kita sendiri tidak menjangka filem ini memberikan aura tersendiri menyebabkan tsunami silat kepada orang Melayu khususnya bagi mempelajari seni bela diri ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau yang juga Yang Dipertua PSCHM memberitahu, golongan remaja yang paling tinggi menunjukkan minat mereka untuk mempelajari silat tersebut.

"Kita berharap perkembangan positif ini berterusan kerana sudah diketahui silat memberikan banyak pengaruh positif selain mempertahankan dan meneruskan kesinambungan seni bela diri ini.

"Penyertaan masih dibuka dan kita mengalu-alukan mereka yang berminat untuk menyertai PSCHM," tambahnya lagi.

Sehingga kini, terdapat sembilan gelanggang utama PSCHM di Pahang dengan 300 pesilat yang sedang aktif menjalani latihan masing-masing melibatkan 25 tenaga pengajar.

Bagi peringkat Malaysia, PSCHM memiliki 30 gelanggang di seluruh negara melibatkan 27,000 ahli.