Selaraskan upah 'porter' Gunung Kinabalu

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

RANAU - Kadar upah porter Gunung Kinabalu diselaraskan mengikut kadar Taman-Taman Sabah (TTS).

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, ketika ini kadar upah porter mengangkat barang pendaki Gunung Kinabalu oleh TTS adalah RM13 per kilogram (kg) dengan minimum 10kg manakala kadar upah mengangkat barang keperluan penginapan adalah RM5.50 per kg.

"Menurut data laporan daripada TTS, secara purata pendapatan seorang porter pendaki Gunung Kinabalu dengan pendakian sebanyak 12 kali sebulan adalah RM3,540.

"Bagi kadar upah porter mengangkat barang keperluan perkhidmatan untuk penginapan dan restoran adalah RM5 per kg yang dikendalikan oleh Mountain Torq dan Sutera Sanctuary Lodge," katanya selepas sesi dialog bersama TTS, Sutera Sanctuary Lodge, Mountain Torq, Persatuan Malim Gunung dan Persatuan Porter Gunung Kinabalu di Kundasang pada Ahad.

Tambah beliau, secara purata, berat barang yang diangkat seorang porter sehari adalah 35kg bagi sekali pendakian.

"Sekiranya porter mendaki sebanyak 15 kali sebulan, purata pendapatan adalah RM2,625 namun kekerapan mendaki adalah bergantung kepada kerajinan seorang porter," katanya.

Jelasnya lagi, untuk kadar upah bagi malim gunung ketika ini adalah RM230 untuk dua hari satu malam dan purata seorang malim gunung mengiring pendaki dalam sebulan adalah sebanyak 13 kali dengan anggaran pendapatan RM2,990.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Sutera Sanctuary Lodge dan Mountain Torq dapat mempertimbangkan untuk selaraskan kadar upah yang sama dengan TTS.

"Namun, kadar upah porter dan juga malim gunung itu akan dibincangkan dari semasa ke semasa agar mereka juga mampu meningkatkan keseimbangan kerja dan kehidupan serta mempunyai standard kehidupan yang lebih baik.

"Upah mereka perlu sepadan dengan perkhidmatan yang diberikan khususnya kepada pendaki Gunung Kinabalu," katanya.

Bagaimanapun, Jafry mahu semua porter dan malim gunung memberikan perkhidmatan terbaik seiring dengan imej Gunung Kinabalu yang bakal mendapat pengiktirafan sebagai tapak Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Global Geopark.