Sasaran pingat, persediaan atlet dibincang pada mesyuarat MOM

Shahrul Zaman. - Foto Bernama
Shahrul Zaman. - Foto Bernama
A
A
A

PERUBAHAN sasaran pingat emas negara pada Sukan Komanwel, Birmingham 2022 susulan ketiadaan penyertaan dua atlet sandaran, Lee Zii Jia dan S Sivasangari serta perkembangan persiapan atlet akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan datang.

Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, pihaknya masih menunggu tarikh mesyuarat bagi menentukan sasaran unjuran susulan penarikan diri perseorangan lelaki badminton negara dan atlet skuasy negara yang tidak dapat beraksi disebabkan kemalangan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak berkata, pihaknya masih menunggu tarikh mesyuarat berkenaan, yang difahamkan mungkin diadakan pada 15 Julai ini.

"Jadi dalam mesyuarat itulah nanti akan dibuat dan semak balik unjuran malah kita juga perlu berbincang dengan Majlis Sukan Negara untuk memantau persiapan atlet jadi mesyuarat pada tarikh itu atau mungkin lebih awal," katanya.

Beliau yang juga Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas penyampaian hadiah Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan 2022 oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak Khairul Shahril Mohamed di Stadium Ragbi Perak di Ipoh pada Ahad. - Bernama