Sentimen berhati-hati pengaruhi Bursa Malaysia pada sesi pembukaan

Bursa Malaysia dibuka rendah pada Isnin di tengah-tengah sentimen berhati-hati menjelang keputusan kadar faedah. - Foto hiasan
Bursa Malaysia dibuka rendah pada Isnin di tengah-tengah sentimen berhati-hati menjelang keputusan kadar faedah. - Foto hiasan
A
A
A

DAGANGAN Bursa Malaysia dibuka rendah di tengah-tengah sentimen berhati-hati menjelang keputusan kadar faedah pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia pada 5 dan 6 Julai ini.

Pada jam 9.07 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.32 mata kepada 1,448.42 daripada 1,449.74 penutupan urus niaga Jumaat minggu lepas.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.24 mata lebih rendah pada 1,449.50.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 136 berbalas 107, manakala 197 kaunter tidak berubah, 1,788 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 126.12 juta unit bernilai RM46.62 juta.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, ketidaktentuan pasaran dijangka kekal dan indeks penanda aras berlegar dalam julat 1,440-1,460 hari ini.

Sementara itu, minyak sawit mentah tidak bergerak dan berada pada paras RM5,090 satu tan manakala minyak mentah Brent pula ditutup hampir mencapai paras US$112 setong.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.43, manakala Maybank dan Petronas Chemicals tidak berubah, masing-masing pada RM8.62 dan RM9.08.

IHH Healthcare pula menyusut lima sen kepada RM6.43, CIMB turun satu sen kepada RM5.02 dan Petronas Gas lebih rendah sebanyak empat sen kepada RM16.46.

Bagi saham aktif, Reach Energy naik setengah sen kepada enam sen, Yew Lee Pacific dan Unitrade menambah satu sen setiap satu menjadi 24.5 sen dan 28 sen, MMAG tidak berubah pada 5.5 sen, Top Glove susut 1.5 sen kepada 99.5 sen, dan Vortex Consolidated turun setengah sen kepada 18 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 4.74 mata kepada 10,311.14, Indeks FBM Emas Syariah menguncup 15.16 mata kepada 10,465.82 dan FBM 70 menambah 16.08 mata kepada 12,419.62.

FBM ACE pula kerugian 32.73 mata kepada 4,751.79 dan Indeks FBMT 100 jatuh 3.97 mata menjadi 10,055.74.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 9.67 mata kepada 16,066.48, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian tidak berubah pada 181.69, dan Indeks Perladangan meningkat 4.57 mata kepada 6,929.29. - Bernama