Lebih 50 nyawa kanak-kanak Palestin melayang

Tunjuk perasaan aman berhampiran pagar keselamatan sempadan Israel-Semenanjung Gaza bertukar ganas selepas rejim Zionis melepaskan tembakan peluru hidup dan gas pemedih mata ke arah rakyat Palestin.
A
A

GAZA CITY - SEMENANJUNG GAZA. Angka kematian melibatkan kanak-kanak Palestin yang ditembak tentera Israel semasa protes mingguan digelar 'Perarakan Kepulangan Besar-besaran' meningkat kepada lebih 50 orang.

Protes di sepanjang sempadan Gaza-Israel itu tercetus sejak 30 Mac tahun lalu dan kini telah meragut lebih 270 nyawa dan mencederakan puluhan ribu yang lain.

Ia bertujuan membantah kepungan 12 tahun Israel selain menuntut hak untuk pulang ke kampung halaman yang dirampas semasa serangan Zionis pada tahun 1948.

Susulan itu, Pertubuhan Save The Children menggesa tentera Israel supaya mengkaji semula penggunaan peluru hidup ke atas golongan kanak-kanak dan remaja.

Ini kerana katanya, 6,000 kanak-kanak menjadi sasaran peluru hidup di mana daripada jumlah tersebut seramai 21 mangsa kehilangan anggota badan dalam tempoh 12 bulan.

Dalam insiden terbaharu kelmarin, empat rakyat Palestin tiga daripadanya remaja masing-masing berusia 17 tahun maut ditembak ketika menyertai sambutan ulang tahun pertama 'Perarakan Kepulangan Besar-besaran' di sempadan Gaza.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza hampir 300 lagi cedera termasuk 86 kanak-kanak, 29 wanita dan enam wartawan.

Malah, tentera Israel bertindak biadab apabila turut menyasarkan tiga kenderaan ambulans.

Israel mengerahkan beberapa ribu tentera di sepanjang sempadan, berikutan ulang tahun tunjuk perasaan terbabit berlaku hanya beberapa hari menjelang pilihan raya negara itu pada 9 April nanti.

Tentera Israel kerap melepaskan peluru hidup dan gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan yang membaling batu dan membakar tayar di sepanjang sempadan. - Agensi