Bernama TV tingkatkan kandungan berita di media sosial, banteras berita palsu

A
A
A

Pada tahun 2021, Bernama TV berjaya mendapatkan sejumlah 78.4 juta tontonan kandungan video berita mereka.
Pada tahun 2021, Bernama TV berjaya mendapatkan sejumlah 78.4 juta tontonan kandungan video berita mereka.

SHAH ALAM - Unit penyiaran di bawah Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Bernama TV mengorak langkah dalam platform digital dengan meningkatkan kehadiran kandungan beritanya di platform media sosial.

Ketua Penyiaran (TV dan Radio) Bernama, D. Arul Rajoo berkata, langkah itu dilakukan untuk memastikan capaian lebih tinggi kandungan beritanya kepada rakyat Malaysia terutama anak muda.

Bernama TV berusaha ke arah mendekati generasi muda dan langkah ini dilihat menunjukkan kejayaan memberangsangkan.
Bernama TV berusaha ke arah mendekati generasi muda dan langkah ini dilihat menunjukkan kejayaan memberangsangkan.

Beliau berkata, Bernama TV kini aktif menyampaikan liputan berita di hampir kesemua platform utama media sosial iaitu Facebook, Twitter, Instagram, Youtube dan TikTok.

“Pada tahun 2021, Bernama TV berjaya mendapatkan sejumlah 78.4 juta tontonan kandungan video berita kami. Sementara untuk tahun ini sehingga Mei sahaja, kandungan Bernama TV di media sosial sudah mencapai 69.5 juta tontonan.

“Jadi kami memang berusaha ke arah mendekati generasi muda dan langkah ini dilihat sememangnya menunjukkan kejayaan memberangsangkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

D. ARUL RAJOO
D. ARUL RAJOO

Dalam pada itu, beliau berkata, antara kandungan laporan yang disajikan dan mendapat perhatian pengguna di platform media sosial adalah berita berbentuk cerita unik masyarakat atau ‘human interest’, jenayah dan sukan.

Beliau berkata, setakat ini, Bernama TV mempunyai wartawan dan jurukamera termasuk yang bekerja secara sambilan di semua negeri bagi membawakan berita terkini kepada rakyat Malaysia.

Menurut beliau, Bernama turut menempatkan wartawan untuk membuat liputan berita TV di tiga negara jiran iaitu Thailand, Singapura dan Indonesia.

Berita tepat daripada sumber yang sahih, berautoriti

Dalam pada itu, Arul berkata, kehadiran Bernama TV di media sosial juga amat penting dalam usaha membantu negara memerangi penyebaran berita tidak benar yang dilihat semakin berleluasa di platform tersebut.

Bernama TV turut memberikan fokus terhadap usaha membanteras penyebaran maklumat palsu membabitkan perkara berkaitan kepentingan awam.
Bernama TV turut memberikan fokus terhadap usaha membanteras penyebaran maklumat palsu membabitkan perkara berkaitan kepentingan awam.

Katanya, ini kerana dalam proses penghasilan setiap berita kepada masyarakat, pihaknya amat menitikberatkan keperluan untuk memastikan kandungan yang bakal disiarkan melalui proses pengesahan daripada sumber yang tepat dan berautoriti.

“Dalam keadaaan ketika masyarakat berhadapan dengan penyebaran berita tidak benar yang dilihat semakin menjadi-jadi, dengan kehadiran Bernama TV ini, sekurang-kurangnya ada satu rujukan yang memang mereka boleh percayai.

“Walaupun kami mementingkan keperluan menghasilkan berita dengan pantas bagi memberikan maklumat terkini kepada rakyat, tapi kami juga merasakan adalah lebih penting untuk terlebih dahulu memastikan berita yang disiarkan itu sahih,” jelas beliau.

Arul menambah kata, Bernama TV turut memberikan fokus terhadap usaha membanteras penyebaran maklumat palsu membabitkan perkara berkaitan kepentingan awam melalui penyiaran berita sahih berkaitan isu tersebut.

“Kalau berita palsu itu melibatkan kepentingan awam, kami pasti akan cari maklumat yang tepat dan cuba perbetulkan tanggapan masyarakat terhadap isu berkenaan,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai hala tuju jangka panjang Bernama TV, Arul berkata, pihaknya menyasarkan untuk menjadi saluran berita serantau dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Katanya, usaha tersebut bakal direalisasikan melalui penempatan wartawan di Asia Tenggara dan beberapa bandar utama di Asia.

“Yang kita namakan rantau Nusantara ini merupakan satu pasaran besar untuk Malaysia dari segi pelaburan dan pelancongan. Jadi kami nak ambil peluang itu untuk meningkatkan capaian kami di negara ini.

“Kalau kita sebut bandar raya seperti Beijing (China), New Delhi (India) dan Dubai (Emiriah Arab Bersatu (UAE)) ini merupakan tempat ramai pelancong datang ke Malaysia.

“Jadi dari sini kita boleh nampak ruang yang boleh digunakan untuk bantu kerajaan dari segi meningkatkan ‘visibility’ sebagai sebuah negara yang berdaya saing dari segi pelancongan dan pelaburan,”ujarnya.

Bernama TV yang secara rasmi ditubuhkan pada 2008 merupakan sebuah saluran berita nasional yang beroperasi 24 jam dan bersiaran di Astro 502, UnifiTV dan myFree view.