AFCON 2023 ditunda ke tahun 2024

Senegal merupakan juara AFCON pada tahun ini. - Foto Getty Images
Senegal merupakan juara AFCON pada tahun ini. - Foto Getty Images
A
A
A

PIALA Negara-Negara Afrika (AFCON) yang dijangka diadakan antara Jun dan Julai tahun depan ditunda pada bulan Januari hingga Februari 2024.

Presiden Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF), Patrice Motsepe berkata, keputusan tersebut dibuat memandangkan tuan rumah Ivory Coast berkemungkinan bakal berhadapan ancaman banjir besar pada waktu berkenaan.

“Kami tidak boleh mengambil risiko. Justeru kami sudah menetapkan bahawa kejohanan AFCON 2023 akan diadakan pada Januari hingga Februari 2024.

“ Walaupun kami mengakui, Januari bukanlah waktu yang ideal untuk dilakukan kejohanan kerana kelab-kelab di Eropah masih bersaing, namun ia merupakan satu-satunya pilihan yang kami ada,” katanya.

Sebelum ini pada 2017, CAF mengumumkan perancangan mereka untuk menganjurkan kejohanan itu di luar musim bola sepak Eropah.

Bagaimanapun, tarikh edisi tahun ini, yang dimenangi Senegal pada Februari lalu, telah dipinda sebanyak dua kali selepas dirancang untuk diadakan pada Jun 2021 dan kemudian pada Jun 2022 gara-gara pandemik Covid-19 dan keadaan cuaca tidak menentu di Cameroon.