Isu pelantikan TPM, apa pula kata rakyat?

Laporan mengenai Muhyiddin yang memaklumkan bahawa pelantikan jawatan TPM antara isu yang dibangkitkan semasa mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri beberapa hari lalu.
Laporan mengenai Muhyiddin yang memaklumkan bahawa pelantikan jawatan TPM antara isu yang dibangkitkan semasa mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri beberapa hari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Baru beberapa hari mendepani fasa keperitan ekonomi susulan pemansuhan barangan subsidi tertentu pada 1 Julai lalu, kini rakyat disajikan pula dengan isu politik melibatkan tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Pada Sabtu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa pelantikan jawatan TPM antara isu yang dibangkitkan semasa mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beberapa hari lalu.

Muhyiddin berkata, perbincangan itu turut melibatkan lantikan baharu menteri dan timbalan menteri sebagai mana yang termaktub dalam perjanjian antara PN dengan Perdana Menteri.

Tindakan itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada ramai pihak yang termasuklah daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Parlimen Pekan itu meluahkan rasa tidak setuju dengan tindakan Muhyiddin dan menasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya tidak perlu melayan permintaan tersebut.

Najib berkata, tujuan Muhyiddin mendesak agar lantikan tersebut dibuat adalah bagi mengelakkan lebih ramai pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar parti.

Namun begitu, bukan pandangan politik sahaja yang perlu diambil kira. Bagaimanakah dengan reaksi dan suara daripada rakyat?

Dalam keadaan rakyat serabut memikirkan kenaikan harga mendadak dan kos sara hidup isi rumah, rakyat tidak seharusnya diletihkan lagi dengan isu-isu politik sebegini.

Pada Ahad, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berpandangan bahawa isu tersebut tidak seharusnya timbul apatah lagi rakyat berdepan dalam situasi sukar menghadapi cabaran ekonomi masa kini.

Asyraf Wajdi menegaskan desakan tersebut juga tidak rasional ketika ini dalam keadaan kewangan kerajaan yang semakin menipis.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu, Datuk Razali Idris menjelaskan bahawa tindakan Muhyiddin itu bukan mendesak sebaliknya hanya menyuarakan tentang lantikan tersebut kerana ia sudah menjadi satu perjanjian antara PN dan Perdana Menteri.

Razali berkata, semua pihak terutamanya pemimpin UMNO tidak seharusnya mempolemikan isu berkenaan kerana ia bukan satu isu besar.

Tambahnya, keputusan itu terpulang kepada Perdana Menteri sama ada ingin meneruskan lantikan TPM atau tidak.