Pemilihan UMNO: Tiada perbincangan kumpulan sokong Ismail Sabri

Annuar
Annuar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Bahagian UMNO Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, tiada perbincangan mengenai barisan kepimpinan tertentu dalam parti yang menyokong Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertanding jawatan presiden parti itu.

"Kami tidak pernah membincangkan perkara ini, saya tahu ada orang yang menyebarkan barisan kepimpinan itu.

Saya rasa kami mempunyai banyak masa untuk memikirkan semua perkara itu tetapi kami tidak pernah duduk bersama dan membincangkan mengenai kedudukan barisan pemimpin dan pertandingan.

"... kami mempunyai masa yang amat terhad dan banyak tugas yang perlu dilaksanakan, " katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai satu poster senarai kepimpinan baharu UMNO tersebar di media sosial yang dinamakan "Saf Kepimpinan UMNO Selepas Pemilihan”.

Poster itu antara lain memaparkan Ismail Sabri sebagai presiden dan Annuar sebagai timbalan presiden manakala Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Khairy Jamaluddin sebagai naib presiden.

Annuar berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Anugerah Penghargaan Industri Ekonomi Digital Malaysia Sempena Sambutan Jubli Perak Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), di sini pada Ahad.

Ketika ditanya mengenai pelantikan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri seperti yang diutarakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Annuar berpandangan permintaan pelantikan itu tidak salah.

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata ia terpulang kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan.

"Saya rasa tak salah untuk meminta...tapi asasnya adalah pelantikan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri adalah prerogatif Perdana Menteri,” katanya. - Bernama