Kejayaan JDT, KDA dan KL City dorong kejayaan kelab Liga-M lain

Ab Ghani
Ab Ghani
A
A
A

KEJAYAAN Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Kuala Lumpur (KL) City FC dalam pertandingan anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ketika ini diharap menjadi pendorong kepada kelab lain dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) untuk mengikut jejak langkah tiga kelab berkenaan.

Menurut Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, kejayaan ketiga-tiga kelab berkenaan bukan sahaja mengharumkan nama negara tetapi turut menaikkan profil Liga-M itu sendiri.

“Seperti yang kita sedia maklum, JDT melakar sejarah tersendiri apabila muncul kelab pertama negara layak ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia (ACL) apabila muncul juara Kumpulan I.

“Kejayaan itu diiringi KDA FC dan KL City FC yang mara ke separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC yang menyaksikan KDA FC muncul juara Kumpulan G di Bali, Indonesia manakala KL City FC memanfaatkan aksi di laman sendiri untuk muncul selaku naib juara Kumpulan H.

“Oleh itu, saya bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada kelab ketiga-tiga kelab berkenaan atas kejayaan mereka ini,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ab Ghani berkata, kejayaan ketiga-tiga kelab berkenaan dalam saingan di peringkat Piala AFC dan ACL juga dilihat membantu menyumbang mata Malaysia bagi ranking pertandingan kelab AFC.

Sekali gus katanya, ia bukan sahaja dapat mengharumkan nama negara malah turut menaikkan profil Liga-M itu sendiri di mana kemenangan yang diraih dalam saingan ACL dan Piala AFC akan membantu menyumbangkan mata kepada Malaysia dalam ranking kelab AFC.

“Pihak MFL amat menghargai komitmen dan kesungguhan yang dipamerkan oleh JDT, KDA FC dan KL City FC dalam menggalas cabaran negara di pentas antarabangsa.

“Oleh itu, kami mendoakan agar kejayaan akan terus mengiringi mereka di peringkat seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Ab Ghani berkata, kejayaan ketiga-tiga kelab berkenaan turut membuktikan bahawa saingan liga domestik di negara ini terbukti berkualiti.

Katanya, pencapaian ketiga-tiga kelab berkenaan turut membuktikan kualiti yang dimiliki mereka untuk bersaing dengan kelab-kelab ternama di luar negara, kelak.

“Semoga kejayaan ini akan menjadi pendorong kepada kelab-kelab Liga Malaysia yang lain untuk memburu kejayaan sekali gus menyemarakkan lagi saingan Liga Malaysia musim ini dan juga musim-musim seterusnya,” ujarnya.