Ramai rakyat keliru kadar inflasi, kos sara hidup

Siaran di Facebook rasmi Noor Azlan pada Ahad.
Siaran di Facebook rasmi Noor Azlan pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berpendapat bahawa ramai rakyat keliru dengan kadar inflasi dan kos sara hidup di negara ini.

Ujar beliau, Perdana Menteri pada Ahad telah memaklumkan bahawa kerajaan tidak berpeluk tubuh dalam menangani kenaikan kos sara hidup yang semakin menekan di negara ini.

“Saya rasa ramai yang keliru. Pada 24 Jun, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin melaporkan inflasi makanan melonjak 5.2 peratus. Hampir 93 peratus barang makanan yang dipantau telah merekodkan kenaikan harga.

“Pada 27 Jun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed memaklumkan Jabatan Perangkaan menganggarkan kadar inflasi akan mencecah 11.4 peratus sekiranya subsidi dihapuskan.

“30 Jun, Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan kadar inflasi keseluruhan ialah 2.8 peratus. Umumnya, kadar inflasi yang rendah, dalam julat purata Malaysia. Tidak merisaukan,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat perlu faham bahawa kadar inflasi keseluruhan adalah berbeza dengan inflasi makanan.

Menurutnya, inflasi makanan pula banyak memberi tekanan kepada kos sara hidup rakyat terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah, B40.

“Bila kerajaan beritahu tidak akan berpeluk tubuh, ia bermaksud kerajaan telah mengakui bahawa tekanan (inflasi makanan) ke atas kos sara hidup dan akan mengambil tindakan.

“Jadi kalau kita tengok laporan BNM dan 24 Jun itu, mungkin orang akan persoal kenapa perlu risaukan perkara itu,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Tambahnya, sesetengah orang mungkin akan cepat membuat kesimpulan dengan mengatakan bahawa data BNM mengenai inflasi keseluruhan itu adalah tidak tepat.

“Jadi ini yang saya cuba leraikan kerana kalau kita salah faham di antara inflasi dan kos sara hidup, ia mungkin tidak akan membawa kepada penyelesaian yang baik.

“Selain itu, kemungkinan kita akan mengambil tindakan-tindakan yang tidak berkesan,” jelasnya.