Usahawan mikro rebut peluang pembiayaan I-PUSH

Nazri (empat dari kiri) bersama usahawan yang menerima pembiayaan perniagaan sempena Majlis Perasmian Penutup Karnival Usahawan Negeri Pahang di Serambi Teruntum di Kuantan pada Ahad.
Nazri (empat dari kiri) bersama usahawan yang menerima pembiayaan perniagaan sempena Majlis Perasmian Penutup Karnival Usahawan Negeri Pahang di Serambi Teruntum di Kuantan pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 1,100 usahawan mikro yang terjejas akibat pandemik Covid-19 di negeri ini telah memohon pembiayaan pinjaman melalui Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (I-PUSH).

Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, daripada keseluruhan permohonan yang diterima, sebahagiannya telah dipanggil untuk sesi temuduga.

Menurutnya, Jerantut antara daerah yang telah selesai proses temuduga manakala bagi usahawan di daerah lain, proses itu dijangka dapat diselesaikan penghujung bulan Julai ini.

"Bagi tujuan itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM20 juta dengan jumlah pinjaman ditawarkan antara RM5,000 sehingga RM10,000.

"Skim pembiayaan yang disediakan kerajaan negeri itu tanpa faedah bagi mengurangkan beban pemohon," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Usahawan Negeri Pahang di Serambi Teruntum di sini pada Ahad.

Nazri berkata, pembayaran balik pembiayaan itu dalam tempoh lima tahun dengan moratorium diberikan untuk tahun pertama.

“Jumlah pembiayaan akan disalurkan untuk setiap pemohon yang berjaya berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan," katanya.

I-PUSH yang dibuka permohoman bermula April lalu antara inisiatif kerajaan negeri membantu usahawan negeri ini membangunkan semula perniagaan mereka yang terjejas.

Inisiatif itu telah diumumkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam Belanjawan Negeri Pahang 2022 dengan peruntukan RM20 juta.

Sementara itu, Nazri berkata, kerajaan negeri merancang untuk mewujudkan pusat perkhidmatan teknologi retort atau penstrilan untuk kemudahan usahawan makanan di negeri ini.

Menurutnya, melalui teknologi itu, produk yang dihasilkan usahawan mampu bertahan lebih lama tanpa menjejaskan struktur dan rasa.

"Kemudahan itu dilihat satu keperluan ketika ini, namun kita tidak memiliknya justeru cadangan ini akan dibawa dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) untuk dipertimbangkan.

"Sekiranya cadangan itu diluluskan, mungkin ia akan dibina di Jerantut sebelum diperluaskan ke daerah lain," katanya.

Mengulas berhubung Karnival Usahawan Negeri Pahang, Nazri berkata, sambutan dalam kalangan usahawan di negeri ini amat menggalakkan.

"Bagaimanapun atas beberapa faktor, penyertaan dihadkan kepada hanya 80 usahawan dengan pelbagai produk ditawarkan sepanjang karnival selama tiga hari yang berakhir pada Ahad," katanya.