Kes HFMD di Johor naik 75 kali ganda

Kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Johor semakin meningkat.
Kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Johor semakin meningkat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini semakin meningkat dengan 7,967 jumlah kes direkodkan setakat Sabtu lalu.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, angka terbabit menunjukkan peningkatan sebanyak 75 kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun lalu, dengan hanya 106 kes.

"Secara keseluruhan, kumulatif kes HFMD di negeri ini menunjukkan daerah Johor Bahru mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu sebanyak 2,741 kes diikuti Kluang 1039 kes dan Tangkak sebanyak 855 kes.

"Seterusnya Batu Pahat mencatatkan 817 kes, Segamat (679), Kota Tinggi (616) Pontian (532), Muar (313), Kulai (258), dan Mersing (117)," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, sebanyak lima wabak aktif HFMD dilaporkan di mana semuanya melibatkan daerah Johor Bahru.

"Kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 0-6 tahun iaitu sebanyak 6,870 kes (86.2 peratus), diikuti oleh kumpulan umur 7-12 tahun iaitu 946 kes (11.9 peratus) dan selebihnya berumur lebih daripada 13 tahun.

"Lokasi penularan wabak pula melibatkan taska sebanyak 45 kes diikuti oleh rumah persendirian (22), tabika (13), tadika (9), prasekolah (8), sekolah rendah (3), pusat jagaan harian (3) dan lain-lain (2)," katanya.

Beliau memberitahu, berdasarkan laporan situasi penyakit HFMD harian yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga Khamis lalu, Johor merupakan antara lima negeri dengan kumulatif kes tertinggi membabitkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Perak dan Kelantan.

Jelas beliau, Penyakit HFMD disebabkan oleh Enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71).

"Kebiasaan jangkitan adalah ringan (mild) dengan gejala demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

"Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh ke 10 hari.

"Walau bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai, terutamanya yang mempunyai anak-anak kecil supaya mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko mereka dijangkiti.

“Antaranya adalah dengan membasuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak.

“Selain itu, pastikan mulut dan hidung ditutup semasa batuk serta bersin, jangan berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, selimut, cawan, garpu dan sudu.

“Ibu bapa juga dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak yang bergejala ke tempat awam yang ramai seperti kolam renang, pasar, pusat membeli-belah dan stesen bas,” katanya.