Sila log masuk terlebih dahulu.

Orang ramai dinasihat tidak beli air zamzam runcit

Ahmad Marzuk Shaary
Ahmad Marzuk Shaary
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli air zamzam yang dijual secara runcit di negara ini kerana tidak dapat dipastikan ketulenannya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan mana-mana individu membawa keluar air zamzam dalam kuantiti yang banyak kecuali melibatkan agensi umrah dan haji.

“Logiknya, orang perseorangan pun tak dibenarkan bawa balik sendiri dan yang berniaga ini tiada kepastian dari segi ketulenan dan sebagainya.

“Kerajaan menasihatkan supaya tidak membeli air zamzam yang dijual secara runcit di Malaysia,” katanya ketika ditemui pada Program Penyampaian Sumbangan kepada Mangsa Bencana Ribut dan Kebakaran di Kampung Siti Manis, di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, katanya, hanya Lembaga Tabung Haji dan pengendali agensi umrah dan haji sahaja yang dibenarkan membawa pulang air zamzam sebelum jemaah mengambilnya selepas pulang ke negara ini.

“Jemaah yang menggunakan penerbangan komersial, balik dari Jeddah tidak boleh membawa air zamzam.

“Bagi yang melalui Tabung Haji, kami dah sediakan perkhidmatan membawa air zamzam ke Malaysia melalui penerbangan kargo,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kerajaan turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan penipuan badal haji dan menyarankan supaya memilih wakil yang benar-benar tulen bagi menggelak ditipu.

Artikel Berkaitan:

“Kalau nak lakukan badal haji, pilih mereka atau pun wakil yang benar-benar tulen supaya tidak terperangkap. Setakat ini, tidak ada laporan rasmi tetapi sudah ada dakwaan berlaku kegiatan penipuan badal haji.

“Jadi, berhati-hati dengan pakej yang terlalu murah kerana kos untuk mengerjakan haji itu pun sudah tinggi jadi pastikan harga yang ditawarkan itu munasabah melainkan orang tersebut secara sukarela melakukan badal haji,” katanya.