'Jangan politikkan isu kos sara hidup'

Noh menunjukkan laporan sebuah portal berita yang mengeluarkan kenyataan Anwar menggelar kerajaan sebagai 'bangang' ketika sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan kali ke-36 Kopenas Berhad di Hotel Concorde pada Ahad.
Noh menunjukkan laporan sebuah portal berita yang mengeluarkan kenyataan Anwar menggelar kerajaan sebagai 'bangang' ketika sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan kali ke-36 Kopenas Berhad di Hotel Concorde pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - "Janganlah kata bangang, Anwar Ibrahim kalau tak tahu cerita jangan nak jadikan isu kos sara hidup ini sebagai politik."

Demikian respon Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang menyelar kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengeluarkan komen jelek terhadap kerajaan lambat bertindak mengatasi isu kenaikan harga barangan.

Menurutnya, Anwar tidak sepatutnya mempolitikkan isu tersebut jika beliau tidak mengetahui gambaran sebenar tentang inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan.

"Dia tak faham tapi dia kata orang bangang. Kalau saya kata dia bangang nanti, macam mana? Dia mungkin tak tahu apa yang dia cakap.

"Yang ditubuhkan baru-baru ini adalah Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi sebab kita akan menghadapi inflasi. Sebab itu kita tubuhkan dulu jawatankuasa untuk hadapi inflasi, yang mungkin dijangka tahun hadapan.

"Sekarang ini kurang berlaku inflasi sebab kerajaan masih banyak bagi subsidi. Bermakna dia jangan salah faham. Kita tak bangang, dia mungkin lah, nak cakap apa tak sedap juga faham-fahamlah."

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan kali ke-36 Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional (Kopenas) Berhad di Hotel Concorde pada Ahad.

Dalam pada itu, Noh turut menafikan dakwaan kerajaan tidak membuat persediaan awal untuk menghadapi situasi peningkatan harga barangan.

Ujarnya, kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang turut disertai oleh badan bukan kerajaan (NGO) bagi mendapatkan pandangan berhubung situasi semasa.

"Kita bincang bagaimana nak mengurangkan atau mengatasi kos kenaikan harga barang kemudian kabinet turut menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara.

"Kita tahu ayam dulu harganya RM8.90 kerana tertakluk kepada Akta Kawalan Harga ketika itu yang dikenakan pada hari raya kemudian disambung sehingga bulan Julai, begitu juga barangan lain. Jadi, tugas jawatankuasa ini apabila Akta Kawalan Harga ditamatkan.

"Siapa yang kata kita tidak bersedia menghadapi masalah ini," soalnya.

Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan melaporkan Anwar menyifatkan kerajaan sebagai 'bangang' apabila hanya bertindak menubuhkan jawatankuasa khas kabinet bagi menangani harga barang termasuk ayam selepas enam bulan rakyat bergelut dengan kenaikan harga barang.

Katanya, penubuhan jawatankuasa berkenaan sepatutnya diadakan lebih awal sebelum kenaikan harga barang dan berusaha membendungnya lebih awal.