'Tak berhenti doa untuk pulih, mahu solat berdiri'

Serpiah sedang menerima rawatan daripada Nasaruddin sambil diperhatikan Zulkifli.
Serpiah sedang menerima rawatan daripada Nasaruddin sambil diperhatikan Zulkifli.
A
A
A

SEREMBAN - Penderitaan kaki membesar yang dialami oleh seorang warga emas Serpiah Saad, 75, mendapat perhatian daripada seorang pengamal perubatan alternatif.

Kisah Serpiah yang bergelut dengan masalah itu sejak 10 tahun dilaporkan Sinar Harian Jun lalu.

Menurut Nasaruddin Mohamed Sapari, terpanggil mahu menawarkan rawatan kerana bersimpati dengan derita ditanggung Serpiah yang pertama kali dilihatnya.

"Ia merupakan rawatan 'terahertz' yang merupakan sejenis gelombang elektromagnet yang dapat menembusi badan sehingga ke tulang sumsum, membantu melancarkan peredaran darah dan menguatkan imuniti.

"Ia rawatan alternatif dan yang menyembuhkannya ialah ALLAH. Kita hanya berusaha dan saya sekadar mahu berkongsi kebaikan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui merawat Serpiah di rumahnya di Rumah Pangsa Senawang di sini pada Ahad.

Menurutnya, apa yang dilakukan lebih kepada tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat.

Sementara itu Serpiah berkata, tidak pernah berhenti berharap untuk pulih sekurang-kurangnya dapat kembali solat berdiri.

"Pelbagai jenis rawatan saya dah cuba termasuklah berurut. Tapi keadaan kaki saya tetap begini dan sejak tiga bulan ini ia makin membesar.

"Sekarang ini saya bergantung dengan ubat tahan sakit saja kerana ada kalanya ia berdenyut menyebabkan saya susah tidur malam," katanya.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Cakna Rasa Sayang, Zulkifli Muhamed yang turut hadir berkata, laporan media yang mengangkat isu permasalahan dan kebajikan rakyat telah membuka ruang kepada pihak lain untuk membantu.

"Seperti kes makcik Serpiah ini, dia sudah puas ikhtiar tetapi keadaan kakinya masih sama dan apabila dilaporkan media ada pihak prihatin telah tampil.

"Di situlah peranan media dan sebenarnya sudah pelbagai isu masyarakat yang kita ketengahkan dengan kerjasama media yang akhirnya ada penyelesaian," ujarnya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang wanita warga emas di Rumah Pangsa Senawang di sini bergelut dengan derita kaki membesar sejak 10 tahun lalu.

Kaki kiri Serpiah membesar tiga kali ganda daripada kaki kanannya menyebabkan dia sukar bergerak dan tidak boleh berdiri lama.

Menurutnya, keadaan kakinya jadi begitu dipercayai berpunca daripada kecuaian pembedahan kanser rahim yang dilakukan di sebuah hospital di sini 10 tahun lalu