Terkandas hampir enam jam sebelum dibenar masuk Al-Bab

Kumpulan misi kemanusiaan MyCare-Econsave terkandas hampir enam jam sebelum dibenarkan memasuki Al-Bab, Syria. - Foto Bernama
Kumpulan misi kemanusiaan MyCare-Econsave terkandas hampir enam jam sebelum dibenarkan memasuki Al-Bab, Syria. - Foto Bernama
A
A
A

AL-BAB - Kumpulan misi kemanusiaan MyCare-Econsave ke Syria terpaksa menunggu hampir enam jam sebelum dibenarkan memasuki negara ini oleh kerajaan Turkiye menerusi pintu sempadan Cobanbey, Turkiye pada petang Sabtu.

Ia berikutan Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash and Carry, Mas Imran Adam dan penerbit berita Televisyen Al Hijrah, Nor Hashimah Ismail ‘terkandas’ di kaunter pemeriksaan imigresen dan pasport, walaupun sembilan anggota misi yang lain dan Pengarah Program Yayasan ATAA, Abdul Aziz Mansour yang menjadi penterjemah dan jurupandu telahpun dilepaskan.

Sebelum itu, perjalanan dari hotel di Gaziantep, Turkiye ke pintu sempadan tersebut mengambil masa lebih sejam, sebelum kumpulan itu yang diketuai Ahli Pemegang Amanah MyCare, Dr Mohd Zin Kandar tiba di situ kira-kira jam 10.30 pagi.

Apabila memasuki kaunter pemeriksaan imigresen, semua anggota misi menjalani pemeriksaan pasport dengan dibantu seorang pegawai daripada pihak berkuasa Turkiye iaitu AFAD (Pihak Berkuasa Bencana dan Pengurusan Turkiye).

Bagaimanapun, kami disuruh keluar dan menunggu hampir dua jam. Tidak lama selepas itu, beberapa pegawai daripada pejabat pemeriksaan keluar dan mengatakan itu waktu rehat mereka dan kami diminta menunggu lagi.

Setengah jam kemudian, pegawai AFAD yang membantu kami mengarahkan kami masuk dengan beberapa kertas di tangannya yang dipercayai surat kebenaran, bagaimanapun, ketika inilah Mas Imran dan Nor Hashimah tidak berjaya melepasi imigresen susulan masalah dokumentasi.

Selepas menunggu beberapa ketika, kami diminta tunggu di surau kira-kira 200 meter di luar kaunter berkenaan sambil mengendong beg besar masing-masing.

Nor Hashimah berkata, beliau berdebar ketika mengalami situasi berkenaan memandangkan jurukameranya, Zamir Zulkifli tidak dibenarkan memasuki bandar A'zaz pada hari pertama dan kedua misi di Syria kerana masalah pasport.

"Saya tidak berhenti membaca surah Al-Insyirah serta ‘rabbi yassir wala tu'assir’ kerana suami saya pernah berpesan agar membaca surah ini setiap kali berdepan dengan kesukaran.

"Alhamdulillah, walaupun terpaksa menunggu hampir enam jam, ALLAH permudahkan urusan kami," katanya kepada penulis.

Nor Hashimah, yang berkhidmat di stesen televisyen berkenaan sejak 2011 berkata, ini pertama kali beliau berdepan dengan situasi begitu kerana pertama kali membuat liputan di negara bergolak.

Sementara itu, wartawan Harian Metro, Othman Mamat berkata, beliau telah menjangkakan misi itu mempunyai cabarannya tersendiri.

"Hari ini kami menghadapi kesukaran untuk melepasi sempadan Turkiye ke Syria dan kami memang telah menjangka kesukaran ini kerana proses dokumentasi untuk merentasi sempadan di negara yang ada konflik seperti di Syria ini memang agak sukar, sama seperti di tempat lain yang mengalami konflik atau peperangan.

"Namun, kami berharap segala proses dapat diselesaikan sebagaimana yang kami lalui di dua pintu masuk ke Syria dari Turkiye, iaitu A'zaz dan Jarabulus, beberapa hari lepas," katanya.

Kumpulan misi kemanusiaan ini akhirnya dibenarkan memasuki Al-Bab kira-kira jam 4 petang. Sebelum ini, kami juga pernah menunggu lama di pintu masuk A'zaz, tetapi tidak selama ini.

Selain Zamir tidak dibenarkan memasuki A'zaz sebelum ini, kami juga pernah diminta berpatah balik ke Gaziantep, Turkiye dari Jarabulus oleh pihak berkuasa Turkiye selepas tiba di perkampungan ATAA di Jarabulus untuk bermalam akibat masalah komunikasi.

Gangguan internet, elektrik dan air sepanjang berada di Syria turut menjadi cabaran buat semua anggota misi terutama lima pengamal media yang membuat liputan. - Bernama