1,364 tangkapan keldai akaun di Selangor

Arjunaidi (depan; tiga dari kanan) menjadi pengadil sebagai simbolik kepada pertandingan tarik tali antara polis dan penduduk kampung pada Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita di Taman Penggawa Kuala Selangor di sini pada Ahad.
Arjunaidi (depan; tiga dari kanan) menjadi pengadil sebagai simbolik kepada pertandingan tarik tali antara polis dan penduduk kampung pada Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita di Taman Penggawa Kuala Selangor di sini pada Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Polis Selangor berjaya menahan 1,364 individu terbabit dalam sindiket penipuan keldai akaun sejak Januari hingga Jun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, suspek yang terlibat dalam kes penipuan itu sebahagian besar berusia lingkungan 20-an hingga 40-an.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 60 peratus pertuduhan sudah dibawa ke mahkamah atas pelbagai kesalahan kerana membenarkan akaun bank digunakan untuk aktiviti jenayah.

"Sebahagian besar mangsa penipuan keldai akaun ini terdiri daripada suri rumah yang mudah terpengaruh dan menjadi mangsa penipuan.

"Mereka mungkin terpengaruh dengan tawaran diberikan antaranya menerima imbuhan antara RM100 hingga RM600 setiap kali penjenayah meminta menggunakan sewa akaun bagi tujuan penipuan kewangan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Taman Angkat Skuad Aman Wanita (Amanita) di Taman Penggawa Kuala Selangor di sini pada Ahad.

Arjunaidi berkata, modus operandi digunakan keldai akaun antara lain mencari mangsa untuk meminta sewa akaun bank terutama di media sosial.

"Sebahagian besar kes ini mangsa tidak mengenali penjenayah yang menjalankan kegiatan itu di media sosial.

"Mereka beri nombor akaun bank kepada penjenayah untuk disewa malah ada juga memberikan kad ATM (mesin juruwang automatik) kepada along," ujarnya.

Menurutnya, ramai individu yang terlibat dalam keldai akaun pernah menjadi mangsa sebelum ini melakukan jenayah sama untuk memerangkap mangsa lain.

"Dari segi pecahan jantina pula, kita dapati sebahagian besar adalah lelaki (928 individu lelaki), manakala 436 wanita," katanya.

Arjunaidi berkata, orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan tidak mendedahkan akaun bank bagi tujuan sewa akaun bank dan sebagainya.