Nelayan Vietnam terjun laut diselamatkan

Mangsa diselamatkan pekerja pelantar selepas terjun ke laut dan berenang ke arah pelantar berkenaan pada Jumaat lalu. Foto: Maritim
Mangsa diselamatkan pekerja pelantar selepas terjun ke laut dan berenang ke arah pelantar berkenaan pada Jumaat lalu. Foto: Maritim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang nelayan Vietnam yang nekad terjun ke dalam laut bernasib baik apabila diselamatkan pekerja sebuah pelantar minyak dalam kejadian pada Jumaat lalu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Ramli berkata, lelaki itu yang dikenali sebagai Truong Van Tam tidak mengalami kecederaan.

Menurut beliau, aduan berhubung kejadian berkenaan diterima dari pelantar Piatu Timur membabitkan seorang lelaki warga Vietnam yang menyelamatkan diri dengan berenang ke pelantar tersebut.

“Mangsa dipercayai bertindak nekad terjun dari bot dengan mengikat plastik besar berisi udara sebagai pelampung pada badan dan berenang ke pelantar.

“Siasatan awal mendapati mangsa cuba melarikan diri kerana turut membawa bersama barang peribadi seperti pengenalan diri, telefon bimbit, beberapa wang kertas Vietnam dan kad bank,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Ahad.

Muhammad Suffi berkata, pihak pelantar telah menghulurkan bantuan perubatan dan makanan kepada mangsa sebelum diserahkan kepada Maritim Terengganu.

Jelas beliau, lelaki berkenaan tiba di jeti Zon Maritim Kemaman pada jam 8.30 pagi Ahad dan siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dilakukan.

“Kita minta semua komuniti laut dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini dapat menhubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kuala Terengganu di talian 09-6224357,” katanya.