Menteri Ekonomi Argentina letak jawatan

Martin Guzman. - Foto Reuters
Martin Guzman. - Foto Reuters
A
A
A

BUENOS AIRES - [DIKEMAS KINI] Menteri Ekonomi Argentina, Martin Guzman telah mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada Presiden, Alberto Fernandez, lapor Sputnik.

"Saya mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi, sejak menjawat jawatan itu pada 10 Disember 2019," kata Guzman dalam satu kenyataan di media sosial pada Sabtu.

Namun katanya, beliau akan terus berkhidmat meskipun tidak lagi memegang jawatan itu.

Guzman merupakan antara tokoh penting dalam kerajaan yang mengetuai perjanjian penstrukturan semula hutang dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), pemiutang dan pelabur persendirian.

Sumber di Bank Pusat Argentina memberitahu Sputnik pada Selasa bahawa Argentina telah menerima pinjaman Hak Pengeluaran Khas (SDR) bernilai AS$3.98 bilion daripada IMF.

Hak pengeluaran itu disalurkan kepada Argentina empat hari selepas lembaga IMF membuat kelulusan mengenai semakan pertama pinjaman bernilai AS$44 bilion pada 2018 dan 2019 di bawah pentadbiran bekas Presiden Argentina Mauricio Macri (2015-2019).

Bayaran balik pinjaman perlu dilaksanakan bermula 2026 hingga 2034. - Bernama