Barcelona tidak berhasrat lepaskan De Jong

De Jong mahu terus beraksi di Nou Camp. - Foto Getty Images
De Jong mahu terus beraksi di Nou Camp. - Foto Getty Images
A
A
A

PRESIDEN Barcelona, Joan Laporta menegaskan pihaknya sebenarnya langsung tidak berhasrat untuk melepaskan bintang Beland, Frenkie de Jong.

Malah menurut Laporta, De Jong masih mahu beraksi di Nou Camp biarpun ‘dilamar’ beberapa kelab terkemuka dunia seperti Bayern Munich dan Manchester United.

“Kita memang tidak berhasrat untuk melepaskan De Jong dan malah, dia sendiri mahu terus beraksi bersama Barca.

“Lagi pun, bukan hanya United yang dilaporkan begitu berminat untuk mendapatkan khidmatnya ketika ini.

“Namun dia (De Jong) mahu terus berada di sini (Nou Camp)... mungkin untuk beberapa tahun lagi,” katanya.

Untuk rekod, pengendali United, Erik ten Hag dikatakan mahu membawa De Jong ke Old Trafford dalam usaha memperkuatkan skuad kendaliannya itu musim ini.

De Jong juga dilaporkan menjadi buruan gergasi La Liga, Bayern Munich yang turut menawarkan khidmat penyerang sensasi Poland, Robert Lewansdowski bagi mendapatkan khidmatnya.

Sementara itu Laporta berkata, pihaknya berminat untuk membawa masuk pemain sayap Leeds United, Rapinha ke Nou Campa pada musim panas kelak.

Menurut Laporta, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Leeds United dan kelab berkenaan bagi membawa masuk pemain Brazil itu bagi mengukuhkan lagi jentera serangan skuad Blaugrana pada saingan La Liga musim ini.

“Kita sedang berusaha merealisasikan kehadiran Rapinha ke Nou Camp dalam usaha mengukuhkan lagi jentera serangan kita.

“Perbincangan yang kita adakan nampaknya bakal menghasilkan keputusan positif, namun kita tak dapat membuat sebarang kenyataan sebelum mengetahui keputusan yang muktamad,” katanya.