Martabat puisi terus dijulang

Ikrar yang diketuai oleh Radzuan (kanan) antara lain menyebut tiga tonggak utama untuk terus memelihara bahasa dan sastera negara.
Ikrar yang diketuai oleh Radzuan (kanan) antara lain menyebut tiga tonggak utama untuk terus memelihara bahasa dan sastera negara.
A
A
A

MASYARAKAT seluruh dunia termasuk Malaysia meraikan Hari Puisi Sedunia pada 21 Mac setiap tahun selepas pengisytiharannya dalam Persidangan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) ke-30 di Paris pada tahun 1999.

Sesetengah negara pula merayakan Hari Puisi pada bulan Oktober. Pada akhir abad ke-20, komuniti sastera dunia menyambutnya pada 15 Oktober bersempena dengan tarikh lahir Virgil, penyair kisah kepahlawanan Romawi era Augustus.

Tradisi sambutan hari puisi nasional atau antarabangsa pada Oktober masih diterapkan di banyak negara.

Di Indonesia pula terdapat dua tarikh hari puisi yang disambut dengan meriah melalui pelbagai aktiviti kepenyairan. Hari Puisi Nasional disambut pada setiap 28 April dan Hari Puisi Indonesia pada 26 Julai.

Dua tarikh berbeza itu merujuk kepada kelahiran dan kematian penyair terkenal Indonesia, Chairil Anwar.

Bahkan, negara kita sendiri, program Hari Puisi Nasional anjuran Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) secara dwitahunan diraikan dalam kalangan ahli persatuan penulis yang berada dalam gabungan tersebut.

Ketua Dua Gapena, Amiruddin Md Ali Hanafiah menyatakan tarikh 12 Julai dipilih untuk mengangkat Hari Puisi Kebangsaan bersempena ulang tahun kelahiran Ikon Puisi Negara, Allahyarham Datuk (Dr) Usman Awang.

Menurut beliau, sewaktu menggulung ucapan penangguhan pada Mesyuarat Agung Tahunan Gapena tahun lalu, Hari Puisi Kebangsaan berbeza dengan Hari Puisi Nasional yang merupakan program khas Gapena yang dianjurkan oleh persatuan penulis negeri.

Di satu pihak yang lain pula, yakni Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) mencetuskan ilham untuk mewujudkan satu hari khusus yang sebelum ini belum pernah diadakan lagi bagi menyambut Hari Puisi Malaysia demi menjulang martabat puisi ke tahap yang lebih gemilang.

Cerminan bangsa

Lantaran itu, Hari Puisi Malaysia buat julung-julung kalinya diisytiharkan pada 13 Jun 2021 ketika perasmian program Majlis Semarak Puisi, anjuran Pemuisi dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Program itu disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri tahun lalu.

Sejak itu, Hari Puisi Malaysia disambut dengan lebih meluas sebagai usaha penghayatan dan penghargaan karya puisi dari serata negara dalam kalangan khalayak umum, mahasiswa, pensyarah, penggiat seni puisi hinggalah kepada sasterawan tanah air.

Presiden Pemuisi, Datuk Dr Radzuan Ibrahim atau juga dikenali dengan nama pena Wanrazuhar berkata, cadangan mengisytiharkan satu hari khas untuk bidang puisi dibuat bagi memartabatkan bidang puisi sebagai satu cabang kesusasteraan yang semakin popular dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau, puisi merupakan genre yang semakin digemari masyarakat terutama generasi muda dan ia juga adalah cerminan bangsa serta menjadi faktor penting melahirkan masyarakat Malaysia yang cintakan negara, hidup harmoni serta berbudaya tinggi.

Kata Radzuan, Hari Puisi Malaysia tahun ini mula diraikan sejak 1 Jun sehingga 10 Jun secara dalam talian di Facebook Pemuisi Berkarya melalui program ‘Tulis Puisi dan Rakaman Video Baca Puisi’ bertemakan Puisi Keluarga Malaysia yang diadakan secara terbuka.

Seramai 10 pemenang telah dikenal pasti dan dinobatkan pada majlis kemuncak ‘Malam Puisi Keluarga Malaysia’ yang diadakan di ibu negara pada 13 Jun lalu.

“Sambutan Hari Puisi Malaysia tahun ini bertemakan Puisi Keluarga Malaysia yang bertepatan dengan saranan Perdana Menteri supaya bahasa Melayu dimartabatkan di peringkat nasional dan antarabangsa,” ulas Radzuan.

Turut menjadi tarikan adalah upacara ‘Ikrar Sumpah Bahasa’ daripada pemimpin-pemimpin persatuan, NGO seni sastera budaya, dan mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) sebagai tanda sokongan kepada saranan Perdana Menteri bersangkutan hal mempertingkatkan dan memartabatkan bahasa kebangsaan.

Ikrar yang diketuai oleh Radzuan antara lain menyebut tiga tonggak utama untuk terus memelihara bahasa dan sastera negara bersemangatkan prinsip-prinsip iaitu mendukung prinsip Rukun Negara, menjunjung perkara 152 Perlembagaan Negara dan menghormati kebebasan bersuara dalam berkarya.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan deklamasi sajak, dendangan syair, lagu-lagu puisi, tarian, dan sebagainya.

Ketika berucap merasmikan sambutan Hari Puisi Malaysia 2022, Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Saraya Arbi berkata, acara sambutan Hari Puisi Malaysia bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat tempatan, bahkan berfaedah buat pelancong dari luar negara.

“Saya menyokong penuh usaha ini dan akan memberikan segala bentuk kerjasama serta bantuan yang sewajarnya bagi menjayakan program-program yang berfaedah dan boleh mengangkat bahasa, seni, sastera serta budaya bangsa ke tahap yang lebih tinggi,” ujar beliau dalam ucapannya yang mewakili Nancy.

Beliau berharap para penggiat seni sastera akan terus menjadi suara masyarakat, memperjuang dan menulis isu masyarakat tanpa mengira agama dan asal keturunan.

Sambutan di peringkat negeri juga diadakan pada perayaan Hari Puisi Malaysia tahun ini.

Genre puisi wajar terus dijulang oleh penggiat seni puisi tanpa mengira persatuan sastera dalam usaha kita menyemarakkan penggunaan bahasa Melayu yang menjadi bahasa pengantaranya.

Generasi muda khususnya dalam kalangan mahasiswa wajar mengambil peluang dan ruang yang tersedia luas ini demi mengukuhkan ikatan Keluarga Malaysia melalui puisi.

* Harlym Yeo ialah perunding dan penceramah pendidikan kreatif di sebuah kolej swasta di Bandar Sunway, Selangor