Melaka United bangkit ikat JDT di Stadium Hang Jebat

Safawi cuba melepasi kawalan pemain Melaka United dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, pada Sabtu. - Foto Melaka United Football Club
Safawi cuba melepasi kawalan pemain Melaka United dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, pada Sabtu. - Foto Melaka United Football Club
A
A
A

MELAKA United FC mencipta sensasi apabila menjadi pasukan kedua musim ini yang berjaya mengikat penyandang juara Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super musim ini.

Anak buah Benjamin Mora yang tampil di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, laman keramat skuad Hang Tuah dengan misi tiga mata bagi melebarkan jurang pendahulu liga terlebih dulu mendahului menerusi Leandro Velazquez yang menyudahkan hantaran Safawi Rashid pada minit ke-27.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad kendalian pengendali sementara Asri Ninggal kembali memperkemaskan permainan mula menggandakan asakan bagi mencari gol penyamaan.

Gol penyamaan tuan rumah akhirnya muncul selepas Justin Baas menterjemahkan hantaran Sony Norde pada minit ke-39 untuk mengikat kedudukan 1-1 sehingga tamat perlawanan.

Keputusan itu bagaimanapun tidak menjejaskan status Harimau Selatan sebagai pendahulu dengan mengumpul 23 mata selepas mengharungi sembilan perlawanan - dua mata mengatasi pencabar terdekat Negeri Sembilan FC yang telah melengkapkan 11 perlawanan.

Sementara itu, Melaka United pula menduduki tangga kesembilan liga dengan sembilan mata selepas mengharungi sembilan perlawanan.

Untuk rekod ini merupakan keputusan seri kedua JDT selepas terikat 2-2 ketika melayan kunjungan Sri Pahang FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 18 Mei lalu.