3 kru selamat, 1 hilang insiden kapal tangki karam

Banga 2, yang membawa empat kru, dikhuatiri karam di perairan Samalaju, kira-kira 40.2 batu nautika dari barat laut Bintulu.
Banga 2, yang membawa empat kru, dikhuatiri karam di perairan Samalaju, kira-kira 40.2 batu nautika dari barat laut Bintulu.
A
A
A

KUCHING - Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat (MRSC) Kuching mengaktifkan Operasi Carilamat pada jam 11.15 pagi Sabtu susulan seorang mangsa dikhuatiri hilang setelah sebuah kapal tangki dilaporkan karam di perairan Samalaju, kira-kira 40.2 batu nautika dari barat laut Bintulu.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Mohd Khairol Anuar Saad berkata, pada jam 10.53 pagi, MRSC Kuching menerima laporan bahawa Banga 2, yang membawa empat kru, dikhuatiri karam di perairan itu.

Beliau berkata, tiga kru berjaya diselamatkan manakala seorang lagi, yang merupakan warga India dikenali sebagai Himanshu Kumar, dikhuatiri hilang.

"Menurut mangsa yang terselamat, ketika kapal tersebut sedang bersauh di perairan Samalaju sekitar 2 pagi semalam, kapal mereka telah dilanda ribut sehingga menyebabkan ia dimasuki air dan tenggelam.

"Tiga mangsa iaitu dua warga tempatan termasuk nakhoda serta seorang warga India telah berjaya menyelamatkan diri dengan menaiki rakit keselamatan manakala seorang lagi kru tidak sempat menaikinya dan terus hanyut menjauhi rakit keselamatan,” menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Khairol juga berkata, ketiga-tiga mangsa yang menaiki rakit keselamatan telah diselamatkan oleh sebuah bot yang kebetulan berada berhampiran dengan lokasi kejadian.

"Pakaian terakhir mangsa yang dilaporkan hilang ialah berbaju hitam putih, seluar panjang dan memakai jaket keselamatan.

"KM SETIA, yang sedang beroperasi di sekitar perairan Bintulu, telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian,” katanya.

Beliau berkata Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) juga telah ditubuhkan di Samalaju dan MRSC Kuching juga telah memaklumkan insiden itu kepada agensi sahabat serta memajukan permohonan aset udara kepada Unit Udara Bomba Miri dan Polis Gerakan Udara Miri. - Bernama