RM100 juta bantu koperasi kembang industri agromakanan

Ismail Sabri diiringi Noh ketika hadir pada Majlis Pelancaran Bulan Koperasi 2022 (BKK22) sempena 100 Tahun Gerakan Koperasi Membangun Keluarga Malaysia di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), pada Sabtu. - Foto Bernama
Ismail Sabri diiringi Noh ketika hadir pada Majlis Pelancaran Bulan Koperasi 2022 (BKK22) sempena 100 Tahun Gerakan Koperasi Membangun Keluarga Malaysia di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu mengumumkan peruntukan RM100 juta di bawah Tabung Agromakanan dan diletakkan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi membantu koperasi mengembangkan industri agromakanan khususnya penternakan ayam.

Perdana Menteri berkata, peruntukan itu akan membantu koperasi meningkatkan pengeluaran makanan seterusnya mengurangkan masalah kenaikan harga barang yang memberi impak besar kepada Keluarga Malaysia.

"Kerajaan bersetuju agar bantuan Tabung Agromakanan yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia diperluas kepada koperasi yang terlibat dalam sektor ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan 2022 di sini, pada Sabtu.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar serta Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju agar koperasi diberi kuota pekerja asing supaya urusan perladangan dapat berjalan dengan lancar dan Kementerian Sumber Manusia akan memudah cara permohonan koperasi sekiranya ada kekangan dengan sistem Pengurusan Berpusat Pekerja-Pekerja Asing (FWCMS).

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga secara dasar menyokong penubuhan Koperasi Rakyat BR 2.0 Malaysia Berhad atau BR 2.0, sebuah entiti koperasi yang baharu ditubuhkan di bawah Akta Koperasi 1993 (Akta 502) dan dikawal selia oleh SKM.

Beliau berkata, BR 2.0 dijangka memainkan peranan lebih besar membantu membangunkan sektor koperasi serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

"Penubuhan BR 2.0 turut membolehkan Keluarga Malaysia melabur dan memiliki saham dalam koperasi sepertimana Bank Rakyat dengan jangkaan pulangan yang baik,” katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan khusus berjumlah RM10 juta kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagi membiayai penganjuran aktiviti kolaborasi strategik bersama persatuan serta badan bukan kerajaan seperti penganjuran pameran dan ekspo.

Terdahulu, beliau berkata, setakat ini terdapat sebanyak 14,834 koperasi berdaftar di bawah SKM dengan jumlah keahlian seramai 7.1 juta sekali gus membuktikan Keluarga Malaysia semakin berminat melibatkan diri dalam sektor koperasi.

Beliau berkata, gerakan koperasi juga mempunyai modal saham dan yuran terkumpul sebanyak RM16.5 bilion dengan aset berjumlah RM155 bilion serta perolehan mencecah RM37.9 bilion.

Ismail Sabri juga berkata, beliau yakin koperasi adalah pendekatan yang efektif bukan sahaja dalam merangsang pembangunan usahawan bahkan berupaya memainkan peranan besar dalam membantu golongan B40 menangani cabaran peningkatan kos sara hidup.

Beliau berkata, dalam konteks berkoperasi, kuasa yang ada di tangan rakyat boleh menentukan harga patut dengan kualiti jaminan penggunaan.

"Kuasa gerakan koperasi boleh memberi kesan kepada harga barangan pengguna di pasaran kerana melalui koperasi, kita adalah pemilik dan kita juga adalah pengguna,” katanya.

Perdana Menteri berkata, dalam usaha kerajaan membawa Malaysia menuju ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang 2025, isu kenaikan kos sara hidup ternyata menjadi antara cabaran yang besar ketika ini.

Untuk berdepan cabaran itu, beliau berkata, kerajaan memerlukan kerjasama semua pihak khususnya daripada SKM dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dengan memberi fokus memperkasa pembangunan gerakan koperasi dalam penguasaan rantaian bekalan.

Ismail Sabri berkata, usaha bersepadu itu boleh dilakukan SKM dan Angkasa melalui pembabitan koperasi dalam industri pemborongan serta peruncitan.

"Dengan bilangan koperasi yang besar serta kekuatan lebih 20 peratus populasi negara, gerakan koperasi secara kolektif mempunyai kuasa mempengaruhi kos sara hidup Keluarga Malaysia dengan berkesan.

"Gerakan koperasi perlu diperkukuh di setiap peringkat rantaian bekalan makanan termasuk pemasaran barangan pada harga yang kompetitif,” katanya. - Bernama