X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

Hadi terus dicabar dedah nama pemimpin PH terlibat

Mohd Sany. - Foto sumber internet
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda Amanah mengulangi cabaran timbalan presidennya, Datuk Salahuddin Ayub agar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendedahkan identiti pemimpin PH yang kononnya mengakui bahawa Amanah ditubuhkan sebagai alat DAP.

Ketua Pemuda Amanah, Mohd Sany Hamzan berkata, Abdul Hadi tidak perlu lagi berselindung di sebalik alasan kerana perbuatan itu hanya menggambarkan niat jahat sesama Muslim.

"Kami percaya bahawa tuduhan liar yang dibuat tanpa sebarang bukti ini hanyalah satu lagi cubaan untuk mewujudkan persepsi jahat terhadap Amanah yang semakin mendapat tempat di kalangan rakyat yang mendambakan politik Islam yang berkonsepkan rahmatan lil Alamin.

"Amanah sebagai salah satu parti komponen yang membentuk gabungan PH akan teguh bersama rakan-rakan komponen yang lain selagi mana tidak bercanggah dengan prinsip agama serta kedaulatan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Salahuddin meminta Abdul Hadi Awang menamakan pemimpin dalam PH yang didakwa menyifatkan Amanah diwujudkan untuk menjadi alat bagi DAP mengekang pengaruh serta peluang Pas pada PRU14 lalu.

Sementara itu, Mohd Sany berkata, pendedahan ini wajar bagi membuktikan bahawa pemimpin parti Islam itu adalah seorang yang berintegriti dan tidak berpegang pada khabar angin serta sangkaan jahat semata-mata.

"Adalah sangat dikesalkan apabila tuduhan yang masih gagal dibuktikan ini dilafazkan oleh pemimpin tertinggi Pas yang sewajarnya memilih untuk berpolitik secara matang dan sejahtera sebagaimana yang dicanang-canangkan.

"Permainan persepsi jahat yang menjadi strategi ampuh Pas saban hari dilihat sangat bertentangan dengan konsep politik matang dan sejahtera yang dibangga-banggakan," katanya.

Beliau turut mempertikaikan tindakan Pas yang didakwa lebih gemar menyerang Amanah namun pada masa sama semakin 'lunak' bersama UMNO.

"Rakyat haruslah membuka mata bagaimana politik matang dan sejahtera yang dilaungkan Pas semasa pemerintahan UMNO dahulu semakin jelas hanyalah sekadar retorik semata-mata," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!