Wajibkan pengusaha bot miliki PLB

Mohd Zubil menunjukkan alat PLB yang disaran digunakan oleh setiap pengusaha bot bagi memudahkan operasi SAR sekiranya berlaku kecemasan. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
Mohd Zubil menunjukkan alat PLB yang disaran digunakan oleh setiap pengusaha bot bagi memudahkan operasi SAR sekiranya berlaku kecemasan. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

MANTIN - [DIKEMAS KINI] Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan membawa cadangan ke jabatan berkaitan bagi mewajibkan pengusaha bot memiliki alat 'Personal Locator Beacon' (PLB) bagi memudahkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di laut.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, ada perkara yang perlu dititikberatkan oleh pengusaha bot iaitu kesukaran yang dihadapi pihaknya semasa SAR.

Menurutnya, hampir setiap tahun pihaknya mempromosi dan menggalakkan pemilik dan pengusaha bot untuk memiliki PLB, namun hanya sekitar lima peratus yang mempunyainya.

"Maritim dilengkapi dengan sistem satelit. Alat PLB boleh dimiliki dengan harga RM1,300 dan adalah disarankan untuk membelinya.

"Jika ada alat ini, dalam kecemasan seperti bot terbakar atau rosak, hanya tekan butang merah dan dalam dua saat sistem dipancarkan satelit akan dipancarkan ke stesen maritim yang berada di Kuantan, Pahang untuk pengesanan lokasi mangsa.

"SAR ini melibatkan nyawa dan perlu tindakan menyelamat yang cepat," katanya kepada pemberita ketika Hari Bersama Media Maritim Malaysia 2022 di Lapang Sasar Majlis Sukan Negeri di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohd Zubil berkata, beliau akan membawa perkara itu kepada agensi berkaitan dan akan mensyaratkan pengusaha bot memiliki PLB.

Katanya, pemancing juga disaran memilih bot yang menggunakan PLB.

"Jika tiada alat itu, usah naik. Perkara ini akan dibawa seberapa segera ke jabatan berkaitan yang mengeluarkan permit kepada pengusaha bot agar penggunaan PLB ini dapat diwajibkan.

"Penggunaan PLB ini juga bukan terhad di laut, tapi di darat dan sekiranya sesat di hutan juga terpakai.

PLB memudahkan Maritim Malaysia mengesan lokasi kejadian dengan lebih cepat bagi kes kecemasan di laut.
PLB memudahkan Maritim Malaysia mengesan lokasi kejadian dengan lebih cepat bagi kes kecemasan di laut.

"Ada agensi yang boleh mewajibkan penggunaan alat itu dan dalam hal ini, mungkin syarat wajib adalah permit dan alat ini masih belum diwajibkan," katanya.

Tambahnya, pembelian setiap alat berkenaan perlu didaftarkan di laman sesawang maritim kerana semua maklumat termasuklah jenis bot, nombor telefon dan nama pemilik boleh direkodkan.

Khamis lalu, Maritim Terengganu mengaktifkan SAR selepas sebuah bot yang membawa 10 pemancing dan tiga kru hilang di perairan Besut.

Kesemua pemancing terbabit yang keluar dari Jeti Pengkalan Kubu di Kuala Besut pada 10 pagi, Sabtu (25 Jun), berjaya ditemui kira-kira jam 1.40 tengah hari, Jumaat pada kedudukan 80 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu.