Sila log masuk terlebih dahulu.

Resepsi perkahwinan Ras Adiba, suami meriah

Ras Adiba (empat, kiri) dan suaminya, Mohamed Azam (tiga, kiri) bergambar bersama para tetamu semasa majlis persandingan pasangan suami isteri itu di sebuah hotel, pada Sabtu. - Foto Bernama
Ras Adiba (empat, kiri) dan suaminya, Mohamed Azam (tiga, kiri) bergambar bersama para tetamu semasa majlis persandingan pasangan suami isteri itu di sebuah hotel, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

PORT DICKSON - [DIKEMAS KINI] Resepsi perkahwinan Datuk Ras Adiba Radzi dan suaminya, Mohamed Azam Ali berlangsung dalam suasana penuh meriah di Pacific Regency Beach Resort di sini pada Sabtu.

Berkonsepkan serba putih, majlis itu diadakan di luar pekarangan hotel berhampiran pantai dengan dihadiri kira-kira 300 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga serta rakan terdekat.

Bekas personaliti penyiaran berusia 54 tahun itu telah bernikah dengan Mohamed Azam, yang juga ahli perniagaan, pada 2 Jun lepas di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Ras Adiba merupakan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Presiden Persatuan OKU Sentral, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuang hak Orang Kurang Upaya (OKU).

"Alhamdullilah, kami dapat bersama dan disatukan, kali ini majlis dapat diadakan dengan kehadiran keluarga dan sahabat serta rakan media, saya juga bersyukur majlis dapat diadakan di kampung ayah saya di Negeri Sembilan.

"Lebih menarik adalah ramai kakitangan Bernama yang masih berkhidmat dan bersara hadir menyerikan majlis, mereka datang memberikan sokongan kepada saya dan suami, saya sangat berbesar hati, inilah silaturahim yang mesti diteruskan,” katanya kepada pemberita.

Mohamed Azam, 60, juga menzahirkan rasa syukur apabila majlis resepsi berlangsung dengan meriah dan berdoa agar pernikahan itu kekal selama-lamanya.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian McFeeters serta petugas Bernama.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir memeriahkan majlis ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datuk Mokhtar Hussain, bekas Ketua Pengarang Bernama, Khairdzir Md Yunus dan bekas Timbalan Ketua Pengarang, Ahmad Fuad Yahya.

Bekas personaliti penyiaran seperti Zakiah Anas turut hadir dan majlis dimeriahkan dengan persembahan penyanyi Datuk M. Nasir serta Jay Jay, atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Darus. - Bernama