Pelancong kecewa, bangunan kolonial tidak dijaga dengan baik

Keadaan belakang bangunan kolonial Dataran Merdeka yang dipenuhi pokok liar. (Gambar kecil: Andres, Mohd Daud dan Nurfaqihah)
Keadaan belakang bangunan kolonial Dataran Merdeka yang dipenuhi pokok liar. (Gambar kecil: Andres, Mohd Daud dan Nurfaqihah)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bangunan kolonial bersebelahan bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka di sini yang ditumbuhi pokok liar dan tidak diselenggara dengan baik telah memberikan gambaran kurang baik di mata pelancong asing.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati bangunan yang dahulunya merupakan kompleks mahkamah kini menjadi tempat istirahat buat gelandangan selain dinding bangunan dalam keadaan berlumut serta tidak terurus.

Pelancong dari Columbia, Andres Flores, 42, yang ditemui meluahkan rasa sedih melihat keadaan bangunan bersejarah itu yang tidak dijaga dengan baik.

"Saya datang ke sini untuk melihat bangunan bersejarah, namun agak kecewa apabila melihat keadaannya yang tidak diurus dengan baik.

"Pihak berkaitan perlu ambil tanggungjawab untuk naik taraf dan baiki kerosakan kerana setiap bangunan ini mempunyai nilai sejarah yang perlu dipelihara," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, orang awam yang ditemui, Mohd Daud Sulaiman, 25, berkata, bangunan bersejarah itu wajar dinaik taraf kerana menjadi lokasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

Rumput liar tumbuh di bangunan kolonial bersebelahan Bangunan Sultan Abdul Samad.
Rumput liar tumbuh di bangunan kolonial bersebelahan Bangunan Sultan Abdul Samad.

"Kawasan ini perlu dibersihkan lagi dan biar nampak kemas. Pada masa sama, bangunan ini perlu dipulihkan tetapi identiti dan nilai estetika dikekalkan.

"Saya juga harap laluan belakang bangunan ini ditingkatkan ciri-ciri keselamatan dan pencahayaan kerana keadaannya yang suram dikhuatiri mengundang kepada cubaan ragut serta jenayah lain," katanya.

Seorang pelajar, Nurfaqihah Lassim, 20, pula berharap penyelenggaraan di sekitar kawasan Projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL) yang terletak di belakang bangunan Bangunan Sultan Abdul Samad berdekatan Dataran Merdeka itu ditambah baik bagi menjaga imej lokasi itu yang merupakan salah satu tumpuan pelancong.

"Saya nampak banyak kemasan lantai di bahagian tangga sudah tertanggal dan jika tidak berhati-hati boleh menyebabkan pengguna jatuh tersadung.

"Pada saya, lokasi tumpuan pelancong perlu diberikan lebih perhatian, jika ada nampak kerosakan sebaiknya perlu dibaiki segera," katanya.

Pada 28 Jun lalu, seorang pengguna Twitter membangkitkan isu penyelenggaraan dan kerosakan beberapa struktur dalam kawasan ROL itu.

"Buat ROL berbilion tapi budaya selenggara dipinggirkan. Nak tunggu ada VIP tergolek di sini baru dibaiki agaknya," menurut ciapan yang tular.

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, pihaknya telah mengenal pasti beberapa kerosakan yang ditularkan di media sosial.

Kerosakan itu melibatkan kawasan tangga di antara Masjid Jamek dan jambatan pejalan kaki ke Bangunan Sultan Abdul Samad, tangga di bahagian sisi kiri Bangunan Sultan Abdul Samad dan tangga bersebelahan Jalan Leboh Pasar Besar.

Keadaan kemasan lantai pada tangga belakang Bangunan Sultan Abdul Samad yang tertanggal dan membahayakan pengguna.
Keadaan kemasan lantai pada tangga belakang Bangunan Sultan Abdul Samad yang tertanggal dan membahayakan pengguna.

"Hasil siasatan dan pemantauan, kerosakan dikenalpasti berpunca daripada ‘wear and tear’ serta hakisan akibat faktor cuaca.

"Bertindak pantas, DBKL telah melantik kontraktor pada 27 April 2022 untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih.

"Kontraktor yang dilantik sedang mempercepatkan kerja-kerja baik pulih kemasan lantai yang rosak menggunakan bahan yang lebih tahan lasak. Keutamaan adalah terhadap kerosakan kemasan lantai dan dinding di bahagian tangga dan kawasan tumpuan pejalan kaki yang boleh membahayakan keselamatan orang awam," katanya kepada Sinar Harian.

DBKL berkata, pihak kontraktor telah mengambil tindakan awal dengan menutup lokasi kerosakan dengan pita keselamatan dan meletakkan penghadang jalan.