Amanah perhalusi ciri, nilai setiap calon PRU15

Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh (dua kiri) ketika nyanyian lagu Parti Amanah Negara sempena Konvensyen Amanah Kedah dan Istiadat Letak Kerja Pilihan Raya dan Komunikasi di Dewan Cenderawasih, pada Sabtu.
Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh (dua kiri) ketika nyanyian lagu Parti Amanah Negara sempena Konvensyen Amanah Kedah dan Istiadat Letak Kerja Pilihan Raya dan Komunikasi di Dewan Cenderawasih, pada Sabtu.
A
A
A

PENDANG – Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah berikrar memperhalusi ‘ciri’ dan ‘nilai’ dimiliki calon-calon parti tersebut bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, kesetiaan dan menghayati perjuangan mengangkat ‘daulat’ rakyat akan diutamakan ketika memperhalusi ciri dan nilai calon tersebut.

“Sebagai parti politik yang menjadi peserta pilihan raya kelak, ‘bahan’ yang boleh kita jual atau tawarkan kepada rakyat adalah ‘idea’, ‘rekod’ dan ‘khidmat’ pemudah cara untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Semua ini ada pada parti Amanah,” katanya ketika membacakan teks ucapan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi sempena Konvensyen Amanah Kedah dan Istiadat Letak Kerja Pilihan Raya dan Komunikasi di Dewan Cenderawasih, di sini, pada Sabtu.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor itu, Amanah Kedah telah bersiap siaga untuk turun bersama rakyat dalam PRU nanti.

“Amanah dan Pakatan Harapan (PH) turun dengan satu hasrat, ‘Perkasakan Daulat Rakyat. Daulat rakyat telah diangkat dan dijunjung sebelum ini.

“Namun kerana adanya para politikus yang mengambil kesempatan atas nama rakyat telah ‘melompat’ di sana sini, maka suara ‘daulat’ rakyat itu telah dipermainkan,” katanya.

Beliau berkata, Amanah Kedah ingin menegaskan sesekali tidak akan menderhakai rakyat.

Kata beliau, sebagai persiapan gerak kerja pilihan raya, Amanah Kedah memutuskan untuk mengerakkan Biro Pilihanraya (BPR) sebagai sebuah Jentera Operasi (JOP).

Menurut Ismail, ia akan digerakkan secara intensif, lawatan ke lapangan, perundingan, pelancaran jentera di DUN dan penganalisaan data digerakkan dengan intensif oleh tenaga yang dilatih pada peringkat negeri.