Tarik upih, boling nyiur gamit nostalgia sukan rakyat

Pengunjung tidak melepaskan peluang mencuba permainan tradisional tarik upih di tapak sukan rakyat sempena penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) peringkat negeri Perak di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah pada Sabtu.
Pengunjung tidak melepaskan peluang mencuba permainan tradisional tarik upih di tapak sukan rakyat sempena penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) peringkat negeri Perak di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah pada Sabtu.
A
A
A

PASIR SALAK - Tarik upih dan boling nyiur antara aktiviti sukan rakyat yang disajikan kepada orang ramai sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah di sini.

Penolong Pegawai Daerah Perak Tengah, Khairul Amiran Md Nazri yang juga ketua program sukan rakyat berkata, tujuan mempromosikan sukan tradisional itu adalah bagi menggamit nostalgia kepada pengunjung selain memberi pendedahan kepada generasi muda.

"Sukan seperti futsal dan bola jaring merupakan sukan yang biasa didengari dan diaplikasikan di sekolah namun sukan rakyat seperti ini (tarik upih dan boling nyiur) jarang didedahkan kepada mereka (generasi muda).

"Generasi muda lebih gemar bermain sukan ‘indoor’ seperti e-sukan dan permainan dalam talian kerana tidak perlu keluar rumah dan hanya menggunakan gajet,” katanya kepada Bernama pada Sabtu.

Menurutnya, setakat hari ini mereka menyasarkan lebih 500 pengunjung untuk menyertai sukan rakyat termasuk lari dalam guni, batu seremban dan dam.

Seorang pengunjung dari Seri Iskandar, Mashasyima Mahmud, 33, berkata, beliau teruja apabila sukan tradisional seperti tarik upih dipromosikan di Jelajah AKM yang berakhir esok.

"Sebentar tadi saya dapat menyertai tarik upih, boling nyiur dan lari dalam guni. Saya tidak pernah mencuba sebelum ini dan ia satu pengalaman manis,” katanya yang ditemui.

Pengunjung mencuba permainan tradisional lari dalam guni. - Foto Bernama
Pengunjung mencuba permainan tradisional lari dalam guni. - Foto Bernama

Sementara itu, selain sukan rakyat, peminat e-sukan turut tidak melepaskan peluang menyertai pertandingan anjuran Jelajah AKM itu.

Penganjur e-sukan, Amirul Afandi, 28, terkejut dengan penglibatan pemain hampir dari seluruh negara sebelum bermula saringan.

"Kami menerima pemain dari Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan beberapa negeri lain. Pendaftaran secara dalam talian pun sudah penuh sejak seminggu lepas,” katanya.

Ahmad Syakir, 27, dari Kedah berkata, beliau mula mendaftar untuk menyertai pertandingan e-sukan itu seminggu sebelum Jelajah AKM bermula.

"Ketika saya melihat iklan pendaftaran sukan ini menerusi media sosial, saya amat teruja dan mengajak beberapa rakan untuk menyertainya,” katanya. - Bernama