‘Rasa hidup akan berakhir di lautan’

Seorang mangsa memeluk ahli keluarga sebaik tiba di jeti Maritim Terengganu.
Seorang mangsa memeluk ahli keluarga sebaik tiba di jeti Maritim Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – “Saya rasakan ketika itu hidup akan berakhir di lautan,” luah Zairi Nuruddin, 50, seorang daripada 10 pemancing yang dikhuatiri hilang setelah bot nelayan dinaiki mereka tidak kembali ke daratan lebih 24 jam sebelum diselamatkan.

Kakitangan swasta berasal dari Perak itu berkata, sepanjang seminggu berada di laut, dia bersama rakan-rakan lain melakukan pelbagai usaha untuk memohon bantuan namun gagal apabila tiada bot yang datang membantu.

Antara usaha itu katanya adalah melambai ke arah bot nelayan asing yang lalu, menampal tulisan SOS pada bot, menyalakan lampu dan membakar kain serta tayar untuk menarik perhatian nelayan berhampiran.

“Saya yang mempunyai asas kemahiran cuba untuk baiki kerosakan enjin tapi gagal, jadi kami terpaksa tunggu bantuan tiba,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selamat tiba di Jeti Maritim bersama KM Redang pada jam 9 pagi Sabtu.

Menurut Zairi, mereka bertolak dari jeti Kuala Besut pada pagi Sabtu menuju ke kawasan unjam untuk mendapatkan anak ikan sebagai umpan dan menyedari enjin bot bermasalah ketika tiba di lokasi memancing.

“Kami ambil keputusan patah balik tapi enjin mati dan tiba-tiba tidak boleh dihidupkan. Kru terjun ke laut ikat bot ke tali unjam supaya tidak hanyut,” katanya yang mempunyai empat anak berusia 12 hingga 25 tahun.

Ketika itu katanya, barulah mereka menyedari bot berkenaan tidak dilengkapi peralatan komunikasi dan kecemasan lain untuk digunakan bagi menghubungi serta mendapatkan bantuan pasukan penyelamat.

Zairi berkata, dia masih menaruh harapan tinggi mereka semua dapat diselamatkan namun mula memikirkan akan menemui ajal di lautan selepas tiada bot sudi membantu apatah lagi dalam keadaan cuaca buruk dengan ombak mencecah empat meter.

Namun katanya, tetap berusaha dengan cara menunaikan solat hajat dan berdoa kepada ALLAH SWT.

“Saya pelik kenapa tiada yang membantu sedangkan banyak bot lalu lalang. Pagi itu, saya laungkan azan dan mungkin berkat solat hajat dan zikir dilakukan, setengah jam kemudian saya nampak ada bot datang ke arah kami.

“Sebesar-besar rahmat bila nampak ada bot yang datang bantu, selagi duduk dalam bot (yang rosak itu), tidak mungkin saya berada di sini hari ini,” katanya yang menganggap itu pengalaman paling buruk dihadapi sepanjang 20 tahun memancing.

Semua pemancing bersama tekong dan kru diselamatkan sebuah bot nelayan yang bertindak menunda bot mereka ke pelantar minyak berhampiran sebelum kapal pembekal menghubungi Maritim Malaysia kira-kira jam 1.40 petang Jumaat.

KM Redang kemudian berjaya membawa pulang semua mangsa dan tiba di Jeti Maritim Terengganu kira-kira jam 9 pagi Sabtu.

Suasana jeti turut hiba apabila ahli keluarga 10 pemancing dan tekong bersama kru menangis kegembiraan menyambut ketibaan mereka selepas seminggu gagal dihubungi akibat terkandas di lautan ekoran enjin bot dinaiki rosak.

Seorang lagi pemancing, Khairul Safuan Naim, 32, dari Puchong, Selangor berkata, masuk hari Rabu, makanan dan minuman mula kehabisan stok dan mereka terpaksa mencatu bekalan supaya dapat bertahan sehingga diselamatkan.

“Ketika itu saya fikir akan mati dan teringatkan isteri serta anak-anak. Memang serik dan ini pengalaman paling buruk pernah saya hadapi sepanjang mengikuti trip memancing di laut.

“Selepas ini, kami akan pastikan bot yang dinaiki dilengkapi peralatan komunikasi dan kecemasan supaya pasukan penyelamat dapat dihubungi sekiranya berlaku sebarang kecemasan di laut,” katanya.