Sila log masuk terlebih dahulu.

Estet ikan tambah pengeluaran ikan negara

Ikan yang berjaya ditangkap peserta pada Pesta Menjala Ikan Air Tawar Memburu Si Baduk, di Estet Ikan Kuala Wau, Maran pada Sabtu. - Foto Jabatan Perikanan
Ikan yang berjaya ditangkap peserta pada Pesta Menjala Ikan Air Tawar Memburu Si Baduk, di Estet Ikan Kuala Wau, Maran pada Sabtu. - Foto Jabatan Perikanan
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perikanan Pahang bersedia untuk menambah lebih banyak estet ikan di negeri ini bagi menambah bekalan ikan air tawar dalam negara.

Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, penambahan estet ikan akan dilakukan sekiranya terdapat lokasi yang sesuai.

Abdullah
Abdullah

"Kita bersedia tambah estet jika ada permintaan daripada penduduk. Kalau kita lihat estet ikan ini mampu menyediakan pelbagai spesies ikan air tawar yang berkualiti dan boleh dijadikan pusat pemuliharaan.

"Estet ikan berpotensi untuk menjadi lokasi agro pelancongan kepada masyarakat dalam serta luar Pahang dan dapat menyediakan sumber makanan terutama kepada mereka yang menggemari pelbagai spesies ikan air tawar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian berhubung penganjuran Pesta Menjala Ikan Air Tawar Memburu Si Baduk di Estet Ikan Kuala Wau, Maran pada Sabtu.

Pesta kali pertama yang diadakan itu menarik penyertaan lebih 1,000 peserta tempatan dan luar Pahang membabitkan aktiviti menangkap pelbagai spesies ikan air tawar menggunakan jala saja.

Menjawab mengenai bilangan estet ikan di Pahang, Abdullah memaklumkan setakat ini, terdapat tujuh estet ikan yang diwujudkan di Maran, Lipis dan Temerloh.

"Terdapat empat estet ikan yang telah dibangunkan di daerah Temerloh membabitkan di Estet Paya Chempaka seluas 15 hektar, Estet Paya Lanar (25 hektar), Estet Ikan Lubuk Kawah (31 hektar) dan Estet Ikan Kelanau-Bangau Tanjung (50 hektar).

Artikel Berkaitan:

Orang ramai turut serta dalam Pesta Menjala Ikan Air Tawar Memburu Si Baduk, di Estet Ikan Kuala Wau, Maran pada Sabtu. - Foto Jabatan Perikanan
Orang ramai turut serta dalam Pesta Menjala Ikan Air Tawar Memburu Si Baduk, di Estet Ikan Kuala Wau, Maran pada Sabtu. - Foto Jabatan Perikanan

"Dua lagi estet ikan di Lipis ialah Kampung Lalang seluas tiga hektar dan Estet Ikan Empangan Paya Tepual, Kampung Keledek (empat hektar), manakala satu di daerah Maran iaitu di Kuala Wau, Maran seluas 40 hektar," katanya.

Abdullah memaklumkan estet ikan di Kuala Wau merupakan kawasan sawah terbiar yang dimiliki lebih 40 pesawah.

Tambahnya, mereka sepakat untuk menjadikan kawasan itu sebagai estet ikan pada 2019 melalui kerjasama dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kuala Wau.

"Dalam tempoh dua tahun (2019-2020), kita melepaskan sebanyak 326,500 benih ikan spesies lampam sungai, kerai, jelawat, terbul, puyu dan temelian di estet terbabit," katanya.