54 setinggan sekitar Bandaraya Johor Bahru disusun semula

Onn Hafiz (dua, kiri) ketika hadir Program Johor Bersih 100 Hari di Jalan Segget, Johor Bahru, pada Sabtu.
Onn Hafiz (dua, kiri) ketika hadir Program Johor Bersih 100 Hari di Jalan Segget, Johor Bahru, pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri akan menyusun semula 54 buah kampung setinggan di sekitar bandar raya ini dengan memindahkan mereka ke satu penempatan baharu yang lebih sesuai.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sedang mengenal pasti kawasan setinggan tersebut yang melibatkan kira-kira 50,000 penduduk.

"Setiap kampung berkenaan mempunyai kira-kira 1,000 penduduk setinggan. Kita sedang merancang untuk penempatan semula dan kita akan beritahu tempoh yang kita ambil untuk proses penyusunan semula.

"Pihak MBJB akan bekerjasama dengan Majlis Bamdaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) serta pejabat tanah dan galian.

"Apa-apa isu yang mahu kita perjuangkan perlu kurangkan biokrasi dan kena tingkatkan kerjasama," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Johor Bersih 100 Hari di Jalan Segget di bandar raya ini pada Sabtu.

Turut hadir Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor serta Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman.

MBJB sebelum ini mengenal pasti penempatan setinggan turut dihuni warga asing yang menyumbang kepada pencemaran sampah di kawasan sekitarnya.

Antara penempatan setinggan terbabit ialah Kampung Melayu Pandan, Kangkar Tebrau, Plentong, Skudai Kiri, Kampung Sri Purnama dan Kampung Bakar Batu.

Selain itu katanya, pihak MBJB dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merancang untuk menempatkan gelandangan di bandar raya ini ke satu pusat penempatan baharu.

Beliau memberitahu, terdapat kurang 80 gelandangan dalam satu masa di bandar ini dan penempatan semula mereka akan memberikan imej yang lebih baik di daerah ini.

Beliau juga mahu peniaga di pusat bandar raya ini menceriakan bangunan masing-masing dengan mengecat semula kerana kawasan mereka merupakan pintu masuk ke negeri ini.

"Kita mahu peniaga dan pemilik bangunan tidak hanya mengharapkan kerajaan untuk menceriakan bangunan masing-masing. Kita masih boleh lihat ada bangunan-bangunan yang sudah usang," katanya.