Lima momentum diharap jadi kemenangan BN pada PRU15

Ahmad pada sidang akhbar selepas berucap selepas pembukaan Majlis Konvensyen BN Sabah, di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa (ITCC), Penampang.
Ahmad pada sidang akhbar selepas berucap selepas pembukaan Majlis Konvensyen BN Sabah, di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa (ITCC), Penampang.
A
A
A

PENAMPANG - Lima momentum kejayaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini akan menjadi sandaran kepada parti itu untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengingatkan kepada ahli parti bahawa terdapat lima momentum kejayaan BN yang diharap mampu mengembalikan kemenangan kepada BN untuk memerintah semula negara.

"Momentum pertama ialah tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) kita telah menang tujuh PRN iaitu Cameron, Semenyih, Rantau, Slim, Chini, Tanjung Piai dan Kimanis.

"Momentum kedua ialah kemenangan 21 daripada 28 kerusi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, menang tiga per empat atau 75 peratus lebih daripada dua per tiga, manakala momentum ketiga ialah rakan karib BN di Sarawak menang 92 peratus atau 76 daripada 82 peratus.

"Momentum keempat, saya berpatah balik di Sabah dulu ikut susunan daripada hanya satu kerusi jadi 14 kerusi, campur dua dan satu kerusi. 14 menang dua dilantik, satu kembali kepada BN jadi sekarang ini sudah ada 17 kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan momentum terkini ialah kemenangan di Johor 40 daripada 56 kerusi atau 71 peratus juga lebih dua per tiga.

"Jadi dengan lima momentum itu kita harap PRU15 dia kembalikan kemenangan kepada BN untuk negara Malaysia," katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan pembukaan Majlis Konvensyen BN Sabah, di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa (ITCC), di sini, pada Sabtu.

Diminta mengulas berhubung isu pengundi atas pagar, beliau mahu BN perlu agresif untuk menarik lebih ramai pengundi berkenaan untuk menyokong BN.

"Pengundi atas pagar ini kita katakan sebagai pengundi kelabu dan mereka ini ramai. Mereka memerhati dan membuat penilaian ingin tahu apa parti-parti buat untuk mereka.

"Bagi saya BN perlu agresif dan juga perlu mendekati pelbagai kaedah yang saya sebutkan iaitu dari media sosial untuk pengundi atas pagar atau melalui badan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, isu semasa termasuk kenaikan harga barang antara perkara yang menjadi perhatian pengundi atas pagar walaupun pelbagai subsidi diberikan.

"Ini adalah perkara utama dan pertama ketika ini untuk memastikan harga barang keperluan, jika kita lihat tulisan di media sosial mereka yang di atas pagar itu amat kecewa tentang perkara ini.

"Orang-orang kita menyatakan subsidi itu, subsidi ini memang betul ada RM73 bilion tetapi apa yang mereka inginkan apabila ke pasar harga barang turun atau tidak, nak cari minyak satu kilogram pun ada atau tidak.

"Jadi saya menyeru kepada kerajaan ia adalah keutamaan kita untuk memastikan inflasi turun, harga barang turun dan berkaitan dengan penurunan kos sara hidup," katanya.