JPJ keluarkan 60 saman dalam Ops Khas Lori Balak

Anggota Unit Operasi JPJ Pahang melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori balak dalam Ops Khas Lebih Muatan Lori Balak yang dijalankan di seluruh negeri pada Selasa lalu. - Foto JPJ Pahang
Anggota Unit Operasi JPJ Pahang melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori balak dalam Ops Khas Lebih Muatan Lori Balak yang dijalankan di seluruh negeri pada Selasa lalu. - Foto JPJ Pahang
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mengeluarkan 112 notis termasuk 60 saman ke atas pemandu lori balak dalam Ops Khas Lebih Muatan Lori Balak yang dijalankan di seluruh negeri pada Selasa lalu.

Pengarahnya, Kamarul Iskandar Nordin berkata, dalam operasi itu, 179 lori balak diperiksa dan 45 daripadanya telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, antara kesalahan yang dikesan termasuk 13 kes lebih muatan dan tujuh kes membawa muatan secara bahaya.

"Kesalahan lain yang turut dikesan melibatkan teknikal kenderaan, pelesenan pemandu dan pelesenan kenderaan," katanya.

Kamarul Iskandar berkata, operasi yang dilaksanakan serentak seluruh negeri itu diadakan bagi memastikan tahap kepatuhan pengusaha dan pemandu lori balak terhadap peraturan yang ditetapkan.

"Ia berikutan isu kesalahan tatacara pemuatan dan pengangkutan kayu balak di negeri ini masih lagi berada pada tahap yang tidak memuaskan.

"Operasi berterusan yang dijalankan seolah-olah tidak memberi kesan apabila ada dalam kalangan pemandu lori balak terus melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah-kaedah Pembinaan dan Penggunaan (C&U) 1959," katanya.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap lori yang membawa muatan balak akan sentiasa dilaksanakan secara berterusan dan berkala bagi memastikan undang-undang sentiasa dipatuhi demi kebaikan semua pihak.