Zii Jia tak tertekan

Zii Jia terkandas seawal pusingan kedua Terbuka Malaysia 2022. Foto Bernama
Zii Jia terkandas seawal pusingan kedua Terbuka Malaysia 2022. Foto Bernama
A
A
A

TIADA sebarang tekanan dihadapi jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia ketika tumbang di tangan pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito dalam aksi pusingan kedua Terbuka Malaysia 2022 pada Khamis.

Menurut jurulatih Zii Jia, Indra Wijaya, Shesar tampil lebih baik sehingga menyaksikan anak didiknya itu terpaksa terpaksa akur dengan kekalahan 19-21, 21-19, 16-21 di Axiata Arena, Bukit Jalil.

“Saya fikir ia bukan tekanan, sebaliknya sokongan penonton memberikan semangat kepada Zii Jia. Sudah pasti dia mahu memberikan aksi terbaik di depan penyokong sendiri.

“Cuma Zii Jia banyak membiarkan Shesar menguasai perlawanan sehingga akhirnya dia melakukan banyak kesilapan. Itu antara faktor kekalahan Zii Jia semalam (Khamis).

“Saya juga harus mengakui permainan yang ditunjukkan Shesar sangat baik sehingga berjaya memerangkap Zii Jia. Ini satu pengajaran berguna buat Zii Jia,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Kekalahan Zii Jia itu menyaksikan tiada lagi wakil negara dalam acara perseorangan lelaki selepas kekalahan Liew Daren dan Ng Tze Yong seawal pusingan pertama.

Lebih malang, harapan untuk melihat Zii Jia kembali merampas gelaran Terbuka Malaysia dalam acara perseorangan lelaki berkecai selepas kali terakhir dimenangi legenda negara, Datuk Lee Chong Wei pada 2018.

Chong Wei adalah pemenang terbanyak sejak kejohanan itu diperkenalkan pada tahun 1937 dengan 12 gelaran.

Mengulas lanjut, Indra percaya semangat juang Zii Jia tidak akan luntur di sebalik kekalahan tersebut dan yakin pemain berusia 24 tahun itu mampu bangkit pada kejohanan akan datang.

“Saya yakin Zii Jia masih mampu menampilkan prestasi yang lebih baik pada kejohanan akan datang. Cuma kali ini, dia gagal melangkah lebuh jauh,” ujarnya.

Dalam pada itu, Indra memberitahu, Zii Jia belum membuat keputusan sama ada akan menyertai Masters Malaysia 2022 yang akan bermula Selasa ini.

“Setakat ini kita belum dapat membuat apa-apa keputusan lagi. Dia harus benar-benar bersedia dari segi fizikal dan mental untuk beraksi sekali lagi di sini (Axiata Arena).

“Saya mahu melihat dulu bagaimana keadaan Zii Jia dalam beberapa hari ini sebelum kami membuat sebarang keputusan,” jelasnya.