Minyak masak botol naik melambung, ayam masih stabil

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SELEPAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pemansuhan subsidi minyak masak botol bagi 1, 2, 3 dan 5 kilogram (kg), ia telah menimbulkan kegusaran terutama kepada rakyat.

Subsidi sementara yang bermula Ogos tahun lalu itu pada asalnya dikhususkan untuk membantu rakyat yang terkesan ketika pandemik Covid-19 kemudian ditarik semula setelah banyak diselewengkan pihak industri, komersial dan aktiviti penyeludupan.

Subsidi tersebut telah ditarik bermula 1 Julai manakala bagi minyak masak berpeket pula ia masih diteruskan bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan menampung kehidupan seharian.

Hasil tinjauan Sinar Harian mendapati bahawa setelah tidak diberikan subsidi, harga minyak botol tersebut telah meningkat naik sehingga 40 peratus dari harga sebelumnya.

Peningkatan harga tersebut didapati melibatkan semua jenis minyak masak botol iaitu daripada satu sehingga lima kg.

Bagi minyak botol 5kg, peningkatan harga melibatkan pelbagai jenama termasuk Seri Murni yang naik kepada RM42.70 iaitu 44 peratus, diikuti Buruh, RM42.60 (43.5 peratus); Alif, RM42.50 (43 peratus); Seri Murni RM42.70 (44 peratus); Vesawit, RM42.25 (42.5 peratus) dan Saji, RM42.20 (42 peratus).

Namun begitu, masih terdapat beberapa pasar raya yang masih menjual minyak masak botol pada harga siling terakhir ditetapkan kerajaan sebelum ini iaitu RM29.70 bagi berat 5kg, RM18.70 (3kg), RM12.70 (2kg) dan RM6.70 (1kg).

Dalam perkembangan lain, kerajaan sebelum ini juga telah mengumumkan harga siling ayam standard ditetapkan pada kadar RM9.40 per kilogram di Semenanjung Malaysia bermula 1 Julai.

Hasil tinjauan Sinar Harian mendapati, perkara tersebut mendapat sambutan positif dari kalangan pembeli dan juga peniaga.

Rata-rata mereka berpuas hati dengan harga siling baharu yang telah ditetapkan itu dan sekaligus menyatakan bahawa ia masih pada tahap yang tidak terlalu mahal.