Pelajar TVET didedahkan modul KIAR

Razim (kanan) beramah mesra bersama pelajar pada Program Dialog Ke Arah Memperkasa Pemikiran Antirasuah di IKTBN Chembong pada Khamis.
Razim (kanan) beramah mesra bersama pelajar pada Program Dialog Ke Arah Memperkasa Pemikiran Antirasuah di IKTBN Chembong pada Khamis.
A
A
A

REMBAU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merancang menyebarluaskan pendidikan antirasuah menerusi Modul Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) dalam kalangan pelajar bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor berkata, rancangan memasukkan modul KIAR ke dalam silibus pelajar TVET dijangkakan dilaksanakan seawal-awalnya pada Ogos tahun ini setelah mendapat persetujuan daripada pihak terlibat.

Menurut Razim, modul KIAR ini menggunakan silibus yang sama dengan modul yang diajar kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) sejak 2017 namun akan diolah mengikut kesesuaian sistem pendidikan TVET.

“Setelah mereka tamat pengajian, golongan belia TVET ini berpotensi menjadi usahawan kecil dan sederhana (PKS) atau pekerja berkemahiran tinggi. Jadi, modul KIAR ini sebagai persediaan mereka sebelum memasuki industri sebenar.

“Subjek ini akan membekalkan pelajar dengan pengetahuan berkaitan kesalahan rasuah agar mereka jelas dengan akibat yang bakal dihadapi jika terlibat dengan jenayah ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Dialog Ke Arah Memperkasa Pemikiran Antirasuah di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKBN) Chembong di sini pada Khamis.

Razim berkata modul KIAR dapat melengkapkan pelajar TVET menjadi tenaga kerja berkemahiran tinggi dengan pengetahuan antirasuah.

“Cabaran rasuah melibatkan belia sangat tinggi dan ia dibuktikan dengan statistik SPRM iaitu tangkapan yang dibuat dalam tempoh 2020 sehingga 3 Jun 2022 bagi golongan belia berumur lingkungan 18 hingga 30 tahun di negara ini melibatkan 275 orang (231 lelaki dan 44 wanita) dengan pelbagai kesalahan rasuah terutamanya menerima dan memberi rasuah,” katanya.

Beliau berkata dalam modul tersebut pihak SPRM akan membawa bekas pesalah rasuah untuk berkongsi pengalaman dan hukuman yang diterima akibat terlibat dengan jenayah tersebut.

Katanya, usaha melaksanakan modul KIAR menyasarkan seluruh golongan belia di institusi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM).

“Usaha ini juga akan turut melibatkan Majlis Amanah Rakyat (Mara) seperti Institusi Kemahiran Mara (IKM) dan GiatMara,” katanya.

Razim turut menasihati orang awam agar berani tampil membuat aduan atau memberi maklumat kepada pihak SPRM jika mengetahui wujud kegiatan rasuah yang dilakukan dengan menghubungi talian bebas tol 1800-88-6000. - Bernama