Tugas getir menanti Jonatan di separuh akhir

Pemain perseorangan Lelaki Indonesia Jonatan Christie beraksi ketika menentang pemain perseorangan Lelaki India Prannoy H.S. pada perlawanan pusingan suku akhir Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil pada Jumaat. Foto Bernama
Pemain perseorangan Lelaki Indonesia Jonatan Christie beraksi ketika menentang pemain perseorangan Lelaki India Prannoy H.S. pada perlawanan pusingan suku akhir Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

TUGAS getir menanti perseorangan lelaki Indonesia Jonatan Christie yang dijadual berdepan pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen di separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2022 pada Sabtu.

Jonatan turun selaku pilihan ketujuh kejohanan menyingkirkan pemain India H.S Prannoy 21-18, 21-16 pada pusingan suku akhir di Arena Axiata Bukit Jalil pada Jumaat manakala pemain dari Denmark itu mengecewakan seorang lagi pemain Indonesia Anthony Sinisuka Ginting 21-18, 17-21, 12-21.

Pemain berusia 24 tahun yang kini menghuni ranking kelapan dunia itu melaungkan amaran awal sambil menyifatkan pertembungan esok juga sebagai misi balas dendam atas kekalahan Ginting di tangan Axelsen.

"Ya, saya akan berjuang bukan sahaja untuk Ginting namun sudah pasti Indonesia sekali.

"Saya bersyukur dapat hasil positif hari ini tapi perjuangan belum selesai ada tugas getir menanti melawan Axelsen,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Bagaimanapun, Jonatan enggan meletakkan tekanan terhadap dirinya biarpun reputasi dimiliki Axelsen yang mengungguli empat kejohanan tahun ini termasuk Terbuka Indonesia 2022, bulan lepas.

Juara Sukan Asia 2018 itu berharap beliau serta Axelsen dapat mempamerkan perlawanan terbaik untuk peminat sukan badminton di stadium pada Sabtu. - Bernama