Washington 'cemburu' hubungan Moscow-Caracas

Pegawai Tentera Udara Rusia berdiri di hadapan pesawat pengebom supersonic sejurus mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Maiquetia di utara Caracas.
A
A

MOSCOW - RUSIA. Seorang pegawai kanan Rusia berkata Amerika Syarikat (AS) tidak senang melihat keakraban Rusia dan Venezuela selain menganggap kehadiran tenteranya di Caracas sebagai menghalang usaha Washington menggulingkan Presiden Nicolas Maduro.

Jurucakap Kementerian Luar, Maria Zakharova berkata, perasaan iri hati AS dapat dilihat apabila Washington mengancam untuk mengenakan sekatan antarabangsa ke atas Moscow kerana menghantar pasukan dan kelengkapan ketenteraan ke negara Amerika Selatan itu, awal minggu lalu.

Difahamkan, penghantaran itu dilakukan tiga bulan selepas kedua-dua negara menyertai latihan ketenteraan bersama.

Zakharova turut menganggap tindakan AS menakut-nakutkan Moscow sebagai tidak masuk akal kerana kerjasama ketenteraan antara Rusia dan Venezuela adalah sah.

Beliau turut menafikan tuduhan AS bahawa penghantaran tersebut sebagai campur tangan tentera Rusia di Venezuela.

Katanya lagi, reaksi AS itu menunjukkan mereka telah gagal merampas kuasa daripada kerajaan Maduro.

"Bagi kami...kami hanya boleh mengesyorkan agar AS berhenti mengancam Venezuela kerana tindakan itu menghancurkan ekonomi dan mendorong berlakunya konflik perang saudara," katanya.

Rusia sebelum ini membantah langkah AS mengiktiraf pemimpin pembangkang, Juan Guaido sebagai presiden sementara Venezuela. - Agensi