Selangor Youth bantu usahawan belia pasar produk antarabangsa

Duduk dari kiri, Abdullah, Nurul Azwa, Simon dan Hafizi ketika menandatangi MoU.
Duduk dari kiri, Abdullah, Nurul Azwa, Simon dan Hafizi ketika menandatangi MoU.
A
A
A

SHAH ALAM - Satu memorandum persefahaman (MoU) di antara Selangor Youth Community (SAY) bersama Halal Street United Kingdom (UK) telah dimeterai bagi membuka peluang dengan lebih luas terutamanya kepada usahawan belia.

Menurut kenyataan SAY, produk yang dikeluarkan tersebut berpotensi untuk dipasarkan produk ke pasaran United Kingdom menerusi sebuah platform e-dagang iaitu Halal Street UK.

Tambahnya, platform tersebut bukan sahaja bertujuan untuk menawarkan solusi produk halal kepada masyarakat Muslim di UK, malahan juga untuk memperkenalkan makanan dan budaya masyarakat Malaysia ke negara Eropah.

“Halal Street UK merupakan sebuah platform e-dagang bagi syarikat-syarikat lokal di Malaysia untuk memasarkan produk-produk di pasaran United Kingdom.

“Platform ini mensasarkan jualan secara perniagaan kepada pelanggan (B2C) iaitu melalui platform e-dagang manakala jualan secara perniagaan kepada perniagaan (B2B) melalui penyertaan syarikat tersebut ke serata pameran makanan dan sebagainya yang terdapat di UK pada setiap tahun,” katanya pada Jumaat.

Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SAY, Nurul Azwa Mohd Rodzi dan Pegawai Kanan SAY, Abdullah Muaz Mohd Norman bersama pihak Halal Street UK diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Simon K Suresh dan Pengurus Besarnya, Hairul Hafizi Abdul Hamid.

Turut berkenan hadir menyaksikan majlis tersebut Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sebagai Pengasas dan Penaung Diraja SAY.

Mengulas lanjut, SAY berkata, sehingga kini, sekurang-kurangnya 900 vendor syarikat telah berjaya didaftarkan ke platform e-dagang tersebut dengan bantuan dan sokongan daripada geran Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

“Untuk syarikat yang berminat untuk mendaftar, anda boleh layari laman sesawang https://www.halalstreet.co.uk," ujarnya.