Terbuka Malaysia: Sze Fei-Izzuddin sambar slot separuh akhir

Sze Fei- Nur Izzuddin ketika beraksi pada pusingan suku akhir Terbuka Malaysia sebentar tadi. Foto: BAM
Sze Fei- Nur Izzuddin ketika beraksi pada pusingan suku akhir Terbuka Malaysia sebentar tadi. Foto: BAM
A
A
A

[DIKEMASKINI] BEREGU lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mengesahkan tempat ke pusingan separuh akhir Terbuka Malaysia 2022 selepas menewaskan pasangan China Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, pasangan yang menduduki ranking ke-12 dunia menewaskan gandingan China 21-11, 22-20 dalam aksi yang berlangsung selama 36 minit.

Menanti Sze Fei-Izzuddin di peringkat separuh akhir esok adalah pemenang satu lagi aksi suku akhir yang melibatkan wakil Malaysia

Ong Yew Sin- Teo Ee Yii menentang pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Adrianto.

“Saya tidak menjangkakan kemenangan itu namun apa yang boleh saya katakan adalah tetap fokus pada perlawanan itu terutamanya pada set kedua.

“Beraksi di depan penyokong sendiri tidak memberi tekanan malah meniup semangat untuk beraksi lebih cemerlang dan mencipta kemenangan untuk negara," kata Sze Fei ketika ditemui sebaik tamat perlawanan, sebentar tadi.

Bagaimanapun hasrat beregu wanita negara Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing untuk sekali lagi mencipta kejutan tidak kesampaian apabila tewas kepada gandingan Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara.

Meskipun memberi tentangan sengit, namun pengalaman yang dimiliki beregu dari negara matahari terbit itu menyaksikan pasangan negara akur tumpas 15-21, 21-23 dalam aksi yang berlangsung selama 44 minit.