44 pekerja kilang warga asing ditahan di Sungai Petani

Rosmaliza (tengah) ketika membuat operasi secara besar-besaran dalam Ops Mahir Penguatkuasaan Imigresen di Kawasan Bukit Selambau pada Jumaat. - Foto Bernama
Rosmaliza (tengah) ketika membuat operasi secara besar-besaran dalam Ops Mahir Penguatkuasaan Imigresen di Kawasan Bukit Selambau pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SUNGAI PETANI - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menahan 44 warga asing dalam serbuan di dua kilang di Bukit Selambau di sini, pada Jumaat.

Timbalan Pengarah Imigresen Kedah (Kawalan), Rosmaliza Mohamed Rashid berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 30 lelaki dan 14 wanita berusia lingkungan 24 hingga 63 tahun yang dipercayai pekerja kilang terbabit.

"Operasi penguatkuasaan di dua lokasi itu dijalankan susulan tamatnya Program Rekalibrasi Tenaga Kerja semalam, dengan 114 warga asing diperiksa dan 44 daripada mereka ditahan.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada 26 warga Myanmar, 12 warga China, dua warga Indonesia dan masing-masing seorang warga Pakistan, Bangladesh, India dan Nepal," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kesemua mereka didapati melakukan kesalahan seperti pas kerja tamat tempoh, menggunakan pas lawatan sosial untuk bekerja dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Pegawai imigresen menahan pekerja asing pada Ops Mahir Penguatkuasaan Imigresen di Kawasan Bukit Selambau pada Jumaat. - Foto Bernama
Pegawai imigresen menahan pekerja asing pada Ops Mahir Penguatkuasaan Imigresen di Kawasan Bukit Selambau pada Jumaat. - Foto Bernama

Rosmaliza berkata, pihaknya turut mengeluarkan tiga Borang 29 (saman kepada saksi) kepada pengurus dan kerani kilang terbabit bagi membantu siasatan.

Menurutnya operasi bermula pada 9.30 pagi hingga 2 petang itu membabitkan 35 pegawai dan anggota imigresen.

Katanya, kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Pada Khamis, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, operasi besar-besaran akan dilaksanakan bagi membendung masalah pendatang tanpa izin selain memberi amaran keras kepada majikan yang mengambil golongan itu bekerja.

Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja sebagai inisiatif kepada pendatang tanpa izin untuk pulang ke negara asal atau berdaftar secara sah. - Bernama