Mangsa pencemaran kimia, pelajar akui bimbang

A
A

PASIR GUDANG - Mangsa pencemaran kimia di Sungai Kim Kim yang juga pelajar SMK Pasir Gudang 2 akui bimbang dan takut perkara sama berulang.

Namun Tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata pelajar yakin keadaan telah selamat dan menghadirkan diri ke sekolah bagi meneruskan sesi persekolahan meskipun kehadiran dilihat sedikit berkurangan berbanding biasa.

Pelajar Tingkatan 6, Nur Syafiqa Afifah Nordin, 19 yang dirawat selama dua hari di hospital akui pengalaman itu menakutkan baginya.

"Saya takut juga nak pergi sekolah hari ini sebab bimbang kena lagi. Setiap hari diambil darah beberapa kali lepas itu saya kena kuarantin di hospital.

"Memang takut, sakit. Saya pun ada asma jadi pakai oksigen sepanjang masa. Masa di sekolah saya muntah-muntah dan pengsan tapi sekarang Alhamdulillah dah ok," katanya kepada Sinar Harian.

Nur Syafiqa yang tinggal di Taman Kota Masai antara enam pelajar SMK Pasir Gudang dirawat di hospital ketika insiden pencemaran kimia di Sungai Kim Kim meletus.

Bagi seorang lagi pelajar Tingkatan 6, Nurul Nasuha Mohd Amni Samni, 19 berkata meskipun gembira dapat kembali meneruskan sesi persekolahan namun turut bimbang dengan silibus yang tergendala selama seminggu.

"Memang saya gembira dapat ke sekolah semula tapi risau juga sebab masa di hospital dan beberapa selepas menerima rawatan saya tak dapat ulang kaji pelajaran.

"Tapi saya sempat gunakan masa cuti untuk siapkan kerja kursus dan cikgu pun ada buat kelas tambahan sehari minggu ini untuk pembentangan kerja kursus kami," katanya.

Sebelum ini, Nasuha yang tinggal di Taman Pasir Putih dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah selepas tidak sedarkan diri di sekolah.

"Saya memang dah rasa sakit kepala beberapa hari sebelumnya tapi saya fikir sakit kepala biasa. Tapi 13 Mac itu saya sesak nafas dan dimasukkan ke bilik kuarantin dengan lebih 20 kawan-kawan lain yang sakit sama.

"Selepas itu saya dah tak sedarkan diri dan sedar apabila dimandikan di hospital. Saya masuk wad dua hari," katanya.

Rata-rata pelajar lain yang ditemui turut menyatakan perkara sama.

Sementara itu, Ketua Unit Hal Ehwal Murid (HEM) Tingkatan 6, Rosrina Bachok berkata sebagai guru beliau akui bimbang dengan silibus pelajar yang tergendala namun yakin pelajar-pelajarnya dapat mengejar.

"Memang bimbang tapi kita sebagai guru guna pelbagai kaedah untuk sampaikan sesi pembelajaran dan pengajaran itu walaupun melalui aplikasi WhatsApp.

"Saya ada berhubung dengan pelajar melalui WhatsApp untuk mereka ulangkaji subjek berkaitan dan di kelas kita akan ulang lagi cuma dalam kadar lebih cepat.

"Saya rasa guru lain juga guna kaedah sama. Sebab kita pun tak sangka kan cuti ini bersambung-sambung," katanya.

Sebelum ini, semua sekolah di Pasir Gudang diberikan cuti serta merta selepas gelombang kedua pencemaran kimia Sungai Kim Kim melanda kawasan ini.

Cuti bencana selama seminggu itu bersambung dengan cuti penggal pertama yang berakhir, semalam.