Penonton tunggu dua jam sebelum dapat masuk stadium

Penyokong badminton terpaksa berbaris dalam keadaan panas terik sebelum dibenarkan masuk ke Axiata Arena menonton suku akhir Terbuka Malaysia 2022. - Foto Bernama
Penyokong badminton terpaksa berbaris dalam keadaan panas terik sebelum dibenarkan masuk ke Axiata Arena menonton suku akhir Terbuka Malaysia 2022. - Foto Bernama
A
A
A

PEMINAT sukan badminton yang datang awal untuk menyaksikan peringkat suku akhir Terbuka Malaysia 2022 pada Jumaat, terpaksa berpanas dan mandi peluh sebelum dibenarkan masuk ke dalam Arena Axiata, Bukit Jalil.

Tinjauan Bernama di sekitar arena itu mendapati Arena Axiata itu hanya dibuka sejam sebelum aksi suku akhir kejohanan itu bermula, yang dijadualkan pada 3 petang tadi menyebabkan penyokong terpaksa berbaris sepanjang 500 meter dari pintu masuk stadium dalam cuaca panas.

Aksi suku akhir hari ini dengan nama-nama besar seperti juara Olimpik Viktor Axelsen, Kento Momota, Tai Tzu Ying, Ratchanok Intanon, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dan PV Sindhu, bakal berjuang untuk tempat ke separuh akhir.

Salah seorang penyokong, Alex Tan, 25, yang hadir bersama rakannya, berkata, beliau tiba seawal 12.15 tengah hari, namun terpaksa menunggu sehingga 2 petang sebelum dibenarkan masuk ke dalam stadium.

"Kita memang tahu suku akhir bermula 3 petang, tetapi tidak tahu pintu hanya buka jam 2 petang. Kita datang awal kerana mahu mendapatkan tempat duduk di hadapan kerana tempat duduk bebas, kalau datang lambat kena duduk belakang, selain dapat membeli cenderahati kejohanan yang dijual di dalam stadium.

"Disebabkan pintu dibuka lambat, kita terpaksa tergesa-gesa masuk ke tempat duduk, tidak dapat melihat cenderahati. Walaupun penat menunggu, kami gembira kerana dapat duduk di tempat yang baik,” katanya.

Beliau berkata, terdapat juga penyokong yang hilang sabar ketika menuggu dan meninggikan suara supaya pintu stadium dibuka segera. - Bernama