Isu Batu Puteh: MB Johor, Puad jangan keluar kenyataan semberono

Batu Puteh
Batu Puteh
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi perlu berhati-hati dengan tidak mengeluarkan kenyataan sebarangan berkenaan isu tuntutan Batu Puteh.

Penyelaras Parlimen Parit Sulong, Mahdzir Ibrahim berkata, mereka harus memahami proses tuntutan Batu Puteh termasuk mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya ingin menasihatkan orang-orang politik, agar meneliti dan arif sesuatu isu terlebih dahulu dengan lebih mendalam sebelum membuat apa-apa ulasan. Saya juga ingin mengingatkan bahawa isu ini bukan isu peribadi antara beliau dengan Dr Mahathir.

"Batu Puteh adalah isu perundangan yang melibatkan Jabatan Peguam negara dan kerajaan. Beliau tidak seharusnya bertindak semberono dengan mengulas tanpa merujuk dan meminta nasihat daripada pegawai perundangan yang lebih arif," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada 29 Oktober 2021, kabinet membentuk Pasukan Petugas Khas bagi menyemak isu-isu dan tindakan perundangan berhubung kes Batu Puteh.

Penubuhan itu ekoran keputusan kerajaan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di bawah Dr Mahathir untuk tidak meneruskan permohonan semakan semula kes Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague, Belanda pada 2018.

Sultan Johor semasa menerima laporan pasukan itu yang disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengerusi Pasukan Petugas Khas, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, pada 15 Mei lalu bertitah, keputusan sebelum ini seolah-olah mengaku kalah sebelum masuk ke mahkamah berkenaan, walaupun ada pertemuan bukti baharu yang memihak kepada Malaysia.

Pada 26 Jun lalu pula, Onn Hafiz berkata, kerajaan Johor mahu tindakan undang-undang diambil ke atas pihak yang menyebabkan negara kehilangan hak dan kedaulatan terhadap Batu Puteh manakala pada Khamis, Puad menawarkan diri untuk menyaman Dr Mahathir.

Mahdzir Ibrahim
Mahdzir Ibrahim

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, jika disemak kenyataan media, Wan Junaidi berkenaan isu tersebut pada 26 April lalu, menjelaskan bahawa laporan siasatan tersebut merupakan laporan interim.

Jelasnya, ini bermaksud laporan tersebut belum selesai malah dalam kenyataan yang sama, menteri yang bertanggungjawab itu telah memohon tempoh lanjutan untuk menyiapkan laporan tersebut.

Katanya, Wan Junaidi turut menyatakan bahawa kesulitan oleh Pasukan Petugas Khas (PPK) untuk melengkapkan siasatan atas faktor-faktor dokumentasi dan pelbagai lagi masalah teknikal yang perlu dilakukan dengan penuh cermat.

Justeru katanya, sebagai Menteri Besar Johor dan Speaker DUN, mereka harus menghormati proses yang sedang dijalankan dan tidak mengeluarkan kenyataan yang akan mengganggu gugat ketenteraman dan keharmonian rakyat.

"Saya ingin menasihati Menteri Besar Johor dan Speaker DUN bahawa apabila selesai siasatan ini, perkara pertama yang perlu dibuat ialah meminta kerajaan agar laporan siasatan ini didedahkan kepada pihak awam supaya rakyat dapat membaca dan memahami punca sebenar kegagalan Malaysia mempertahankan Batu Puteh," katanya.

Jelas beliau, tidak timbul pihak mana yang patut dipersalahkan atau siapa patut disaman dalam isu Batu Puteh itu.

"Perkara kedua yang perlu diberi perhatian ialah, Menteri Besar Johor tidak seharusnya menggunakan isu ini untuk mengelak daripada isu yang lebih utama iaitu mencari penyelesaian terhadap isu-isu rakyat yang semakin meruncing ketika ini.

"Ada banyak perkara yang beliau boleh dilakukan untuk membantu rakyat dalam menghadapi pelbagai kenaikan kos sara hidup yang semakin membebankan. Ini tugas utama sebagai Menteri Besar Johor," katanya.