Tidak patut ada pertembungan dalam UMNO: Hishammuddin

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada sidang media selepas upacara penyerahan Helikopter Operasi Maritim kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Markas Pemerintahan Armada Timur Pangkalan TLDM Kota Kinabalu Sepanggar. - Foto Bernama
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada sidang media selepas upacara penyerahan Helikopter Operasi Maritim kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Markas Pemerintahan Armada Timur Pangkalan TLDM Kota Kinabalu Sepanggar. - Foto Bernama
A
A
A
KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berharap tiada pihak yang akan mengambil kesempatan untuk melaga-lagakan pemimpin UMNO.

Menteri Kanan Pertahanan itu juga menegaskan, tidak patut ada pertembungan dalam UMNO dan keadaan itu harus dihentikan oleh semua pihak.

"Secara peribadi saya rasakan pertembungan sebegini mesti dihentikan dan saya harap bahawa jangan ada pihak tertentu di semua peringkat ambil kesempatan 'mengipas' dan melaga-lagakan pemimpin kita.

"Seperti gandingan yang kita lihat hari ini dalam majlis Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta kerajaan negeri, kita berada dalam keadaan parti dan kerajaan datangnya dari wadah yang sama, sebab itu usaha laga-lagakan pemimpin kita sama ada di parti atau kerajaan mesti dihentikan, " katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas berhubung wujudnya 'kem' dalam UMNO selepas menghadiri Majlis Perasmian Stesen Udara Kota Kinabalu (SUKK) dan Skuadron 503 serta Penyerahan Helikopter Operasi Maritim (HOM) di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, di sini pada Jumaat.

Menurut beliau lagi, rakyat akan menghukum parti jika ia berterusan dan ia juga boleh berlaku kepada parti lain.

"Ini bergantung kepada kita, kalau biar ia berlarutan akhirnya rakyat akan hukum kita. Tetapi jangan lihat ia hanya berlaku dalam UMNO atau BN, parti-parti lain pun berdepan situasi sama, tuduh menuduh jadi tak adil kalau kita fokus hanya kepada UMNO.

"Tetapi UMNO saya yakin telah lalui situasi sebegini dan telah tangani dengan baik sebelum dari hari ini dan apa kita warisi, pemimpin UMNO terdahulu yang terpaksa berdepan dan mungkin pertembungan lebih hebat tetapi ia tidak menjadi wadah parti UMNO sebagai parti yang boleh diharapkan oleh orang ramai.

"Saya yakin bahawa parti kita masih lagi boleh diharapkan untuk pastikan keselamatan negara kita, ekonomi kita dapat tangani dan landskap politik kita dapat distabilkan. Terserah kepada kita nak tengok sama ada kita nak bangkit untuk tangani isu-isu seperti ini," katanya.